JENDELA pemindahan epik!
Dari bintang bola sepak dunia seperti Jude Bellingham dan Lionel Messi hinggalah pemain-pemain berbakat yang mencari ‘angin baru’ seperti ,Marco Asensio dan Moises Caicedo, peminat bola sepak boleh menjangkakan masa-masa seronok dan mendebarkan dalam satu, dua bulan mendatang.
Adakah Messi akan kembali ke Barcelona? Adakah bintang Brighton, Caecedo, bakal dipancing kelab-kelab terkemuka England?
Berita Minggu (BM) membawakan anda semua khabar angin dan ‘gosip’ mengenai pemain-pemain paling tersohor dunia, dan tujuan mereka seterusnya.
Pemain in bertaraf bintang, tapi dalam kalangan bintang lain di Real Madrid, beliau setakat pemain skuad semata-mata. Hakikat ini namun tidak membendung reputasinya sebagai pemain handal dan beliau, yang berusia 27 tahun telah memberi sumbangan gol dalam beberapa perlawanan penting bagi Real.
Buat masa ini, Asensio telah dikaitkan dengan beberapa kelab bertaraf elit di Eropah, dengan Paris Saint-Germain di Paris antara yang paling sering disebut-sebut. Beliau juga dikaitkan dengan beberapa kelab di Liga Perdana England (EPL), termasuk Newcastle.
Pada musim panas ini, Asensio mungkin berfikir dua kali tentang masa depannya dalam La Liga Sepanyol, kerana beliau telah memenangi semua trofi utama di negara itu dan juga LIga Juara-Juara Eropah.
Memandangkan kontraknya dijadual luput, beliau mungkin tergerak untuk berpindah ke negara dan liga lain.
Beliau tidak diketahui sebelum musim Liga Perdana England 2022-23, tetapi kini namanya menjadi sebutan dalam liga-liga elit Eropah selepas beliau membantu Brighton mencapai kedudukan terbaik dalam EPL dan melayakkan diri ke Liga Europa.
Awal tahun ini, beliau telah dikaitkan dengan Arsenal, tetapi di luar jangkaan, mengikat kontrak baru selama empat tahun dengan Brighton.
Namun, persetujuan rasmi dengan kelabnya itu dilihat sekadar ‘jaminan’ bagi kelab yang ingin meletakkan harga tertinggi bagi pemainnya dan Caicedo dijangka berpindah kelab pada musim panas ini.
Pemain bek kiri ini antara yang paling handal dalam Liga Perdana England (EPL) pada satu masa dahulu. Justeru, perbuatan Pep Guardiola dan Manchester City melepaskannya untuk menyertai Bayern Munich sebagai pemain pinjaman menarik perhatian dan desas-desus beliau seorang pemain yang sukar diuruskan.
Reputasi sedemikian diperkukuh di Bayern, apabila beliau dikatakan sering berselisih faham dengan pengurusnya Thomas Tuchel.
Difahami, kededua City dan Bayern tidak ingin mengekalkan khidmatnya bagi musim akan datang dan ini bermakna mungkin sebuah kelab lain boleh meraih manfaat dan mendapatkan pemain yang bukan sahaja pantas dan licik menggelecek bola di sayap, malah berazam untuk membuktikan keupayaan sebenar selepas mengharungi musim mengecewakan.
Kapten termuda Borussia Dortmund pada usia 19 tahun, Bellingham telah ditabalkan sebagai pemain terbaik Bundesliga musim ini, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai antara prospek terhangat musim panas ini.
Real Madrid dikatakan sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan tandatangan pemain midfield England itu, dan sanggup mengeluarkan bayaran £89 juta ($151 juta) meskipun Dortmund dikhabarkan mahu mendapatkan £130 juta.
Selain Real, Manchester City juga dikatakan berminat mendapatkan pemain remaja itu, yang mewakili kelabnya sebanyak 42 kali musim ini dan menjaringkan 14 gol.
“Harry Kane, jumpa anda Jun nanti.”
Itulah laungan penyokong Manchester United kepada penyerang utama Tottenham Hotspurs itu dalam perlawanan antara dua kelab itu yang berakhir 2-2 pada April lalu.
United, begitu juga Chelsea, Bayern Munich dan Paris St-Germain, berulang kali dikaitkan dengan pemain tersebut.
Kededua Spurs dan Kane perlu membuat keputusan.
Penjaring terbanyak England itu hanya mempunyai setahun lagi sebelum kontraknya tamat, dan jika beliau tidak menyambungnya, boleh berpindah kelab sebagai pemain bebas akhir musim depan.
Kebolehan Kane sememangnya diakui. Beliau telah menjaringkan 280 gol dalam 435 penampilan bagi Spurs, dan hanya 47 gol di belakang pemegang rekod EPL, Alan Shearer.
Dengan kegagalan Spurs melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan dengan keinginan Kane cuba memenangi trofi pertama kerjayanya, masa depan beliau terus menjadi tanda tanya.
Declan Rice boleh menjadi kapten pertama West Ham yang menjulang piala Eropah selepas Bobby Moore melakukannya apabila pasukan London itu memenangi Piala Juara-Juara pada 1965.
Sebelum perlawanan separuh akhir Liga Europa Conference menentang AZ Alkmaar, pengurus West Ham, David Moyes, akur besar kemungkinan Rice akan meninggalkan kelab itu musim panas ini.
Pemain midfield berusia 24 tahun itu telah menolak tawaran untuk menyambung kontrak dengan West Ham sedang beliau menjadi buruan hampir kesemua kelab utama England.
Menurut laporan, Rice lebih cenderung untuk kekal dalam Liga Perdana, dan dikatakan berminat menyertai Arsenal. Namun, pasukan Gunners itu mungkin terpaksa membayar seganda lebih tinggi daripada yuran pemindahan rekod mereka sejauh ini.
Moyes berkata beliau menjangkakan West Ham tidak akan melayan tawaran kurang daripada £150 juta ($252 juta).
Pemenang Piala Dunia, Lionel Messi, sah akan meninggalkan Paris St-Germain (PSG) kontraknya tamat pada musim panas ini.
Hubungan Messi dengan PSG juga sudah rapuh. Pada 3 Mei lalu, beliau digantung selama dua minggu oleh kelab itu setelah melawat Arab Saudi tanpa persetujuan kelab.
Messi meninggalkan Barcelona pada 2021 ekoran masalah kewangan yang dihadapi kelab Sepanyol itu, namun pilihan untuk kembali ke Barca adalah sesuatu yang hampir mustahil.
Untuk mematuhi peraturan kewangan penguasa bola sepak Eropah, Barcelona harus mengurangkan pembayaran gaji pemain mereka kepada £177 juta. Jumlahnya kini sekitar £530 juta.
Bintang berusia 35 tahun itu juga dikatakan menarik minat Inter Miami dari Amerika Syarikat dan telah menerima tawaran £350 juta untuk bermain untuk kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
Victor Osimhen telah menjadi pemain buruan kelab-kelab utama dunia ekoran persembahannya yang membantu Napoli menjadi juara Italy.
Chelsea, Arsenal, Manchester United, Liverpool, PSG dan Real Madrid adalah antara kelab yang telah dikaitkan dengan penyerang itu.
Osimhen adalah penjaring terbanyak Serie A dengan 25 gol dalam 31 perlawanan, sekali gus memacu kejuaraan pertama Napoli dalam tempoh 33 tahun.
Pemain berusia 22 tahun itu menyifatkan penyerang Chelsea, Didier Drogba, sebagai idolanya, dan pada 2016 menolak tawaran daripada Arsenal untuk menyertai kelab Bundesliga, Wolfsburg, bagi kontrak profesional pertamanya.
Dalam satu wawancara Mac lalu, beliau mendedahkan impiannya bermain dalam EPL satu hari nanti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg