Sukan telah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan Sara Merican, dengan atlet berusia 28 tahun itu pernah terlibat dalam bola sepak dan kriket selama bertahun-tahun lamanya.
Beliau telah mewakili Singapura dalam kedua-dua sukan tersebut, termasuk membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA bersama pasukan kriket negara pada 2023 di Kemboja.
Pada 2024, beliau menyertai pasukan bola sepak wanita yang baru dibentuk oleh Wigan Athletic.
Pasukan itu bertanding dalam Liga Daerah Wanita Lancashire, sebuah pertandingan amatur yang terdiri daripada dua divisyen, iaitu di peringkat ketujuh dan kelapan dalam struktur liga bola sepak wanita di England.
Selain daripada sukan bola sepak dan kriket, Merican juga berhasrat untuk memberi sumbangan kepada sukan yang dicintainya.
Cita-citanya itu mendapat suntikan semangat selepas beliau dinamakan sebagai salah seorang daripada 25 Pemimpin Muda Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi tempoh 2025 hingga 2028 pada 20 Februari.
Usahanya itu mendapat dorongan tambahan selepas beliau dinamakan sebagai salah seorang daripada 25 Pemimpin Muda Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi 2025 hingga 2028, pada 20 Februari.
Menurut laporan The Straits Times, program itu akan menyediakan panduan pakar dan latihan, akses kepada rangkaian sukan dan pembangunan sukan, serta dana permulaan sebanyak AS$10,000 (S$13,400) untuk mewujudkan inisiatif sukan berasaskan akar umbi yang bertujuan menangani isu sosial dalam masyarakat mereka.
“Saya berpeluang menjadi sebahagian daripada dua masyarakat sukan besar seperti bola sepak dan kriket, dan saya berusaha mencari cara untuk memberi kembali melalui pengalaman yang saya miliki dalam bidang komunikasi dan kewartawanan serta menggabungkannya dengan cara ini,” kongsi Merican.
“Saya cukup aktif dalam melibatkan diri di luar padang dan saya bersyukur kerana ramai yang telah memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam sukan di luar padang.”
Merican, yang kini berpangkalan di Manchester, England, merupakan rakyat Singapura kelima yang menyertai program itu.
Beliau mengikuti jejak atlet Olimpik Belia Dhukhilan Jeevamani (bola sepak) dan Rania Rahardja (sukan pedang), serta pelayar Cecilia Low, yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo, dan Sean Lee.
Dengan sokongan daripada program tersebut, Merican berharap dapat melancarkan pelbagai inisiatif berkaitan sukan wanita, media dan pendidikan.
Inisiatif pertamanya adalah mewujudkan platform untuk orang ramai mengakses maklumat yang berkaitan dengan sukan wanita di Singapura, termasuk skor dan kandungan panjang.
Matlamatnya adalah untuk mengembangkan platform tersebut ke peringkat serantau pada masa hadapan.
Mengenang kembali pengalamannya dalam Program Wartawan Muda Sukan Sekolah Asean, Merican juga ingin memberi tumpuan kepada pendidikan belia dan mewujudkan peluang untuk generasi akan datang – termasuk beri peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk mendapat pengalaman dalam media sukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg