Hanya beberapa hari sebelum kejohanan Terbuka India Wanita Hero bermula, Shannon Tan tidak pasti sama ada beliau akan beraksi dalam kejohanan tersebut.
Ekoran cabaran mendapatkan visa untuk ke India, beliau tertunggu-tunggu di Singapura dan sering memeriksa e-mel dengan harapan mendapat kebenaran.
Setelah menangguhkan penerbangannya beberapa kali, barulah visa yang dinanti-nantikan itu tiba, dan Tan akhirnya berangkat ke India pada 7 Oktober, dua hari lewat daripada tarikh yang dirancang, lapor The Straits Times.
Tan, 21 tahun, segera menyusun semula jadual latihannya untuk membuat persediaan bagi kejohanan itu, yang bermula pada 9 Oktober.
Ternyata halangan tersebut tidak menggugat Tan apabila beliau muncul juara dengan mencatat lima pukulan di bawah par 67 dalam pusingan akhir pada 12 Oktober, dan menamatkan kejohanan itu dengan jumlah tujuh pukulan di bawah par 281 secara keseluruhan.
Tan mengatasi Alice Hewson (72) dengan kelebihan satu pukulan, selepas pemain asal England itu gagal mempertahankan kedudukannya pada lubang terakhir.
Hitaashee Bakshi dari India menduduki tempat ketiga dengan 76 pukulan.
Mengulas kejayaannya, Tan berkata: “Sangat manis untuk meraih kemenangan kedua saya pada tahun ini (2025), setelah saya baru saja (memenangi) pertandingan Amundi German Masters.
“Musim ini berjalan dengan hebat setakat ini, dan saya bangga dapat kekalkan prestasi yang konsisten, serta sentiasa berada dalam persaingan. Itulah matlamat saya sejak awal tahun ini.”
Kemenangannya di DLF Golf and Country Club di Gurgaon, yang terletak sekitar 30km ke barat daya New Delhi, penuh dengan aksi.
Tan, yang mencatat 68, 73 dan 73 pukulan pada awal minggu, memulakan hari terakhir kejohanan itu dalam kedudukan terikat di tempat keempat dengan dua pukulan di bawah par 214 – tujuh pukulan di belakang pendahulu pada malam sebelumnya, Bakshi.
Namun, kedudukan Bakshi terjejas setelah mencatat empat pukulan di atas par 76, termasuk bogi berganda, sekali gus membuka peluang bagi Hewson dan Tan bersaing, dengan pemain England itu berada di hadapan dalam sebahagian besar pusingan tersebut.
Tan, yang bermain dalam kumpulan sebelum Hewson dan membenam enam birdi dan satu bogi, terpaksa menunggu dengan penuh debaran memandangkan beliau terlebih satu pukulan.
Nasib Tan berubah pada lubang terakhir, apabila Hewson mencatat bogi berganda, sekali gus membolehkan Tan meraih kejuaraan Jelajah Eropah Wanita (LET) ketiganya dan cek sebanyak AS$75,000 ($97,330.50).
Mengimbas kemenangannya, pemain golf yang berada di tangga ke-100 dunia itu berkata: “Sebenarnya saya terkejut, tetapi saya sangat gembira.
“Alice salah seorang rakan baik saya dalam jelajah ini dan agak mengecewakan untuk menyaksikan apa yang terjadi pada lubang terakhir itu.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan seperti itu, tetapi saya bersyukur dengan keputusannya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg