Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa luka tapi perlu bangkit tebus kecewa

Seri 1-1 dengan India terasa seperti kekalahan selepas gagal manfaatkan peluang dan kelebihan pemain
Oct 10, 2025 | 5:22 PM
bola sepak, Ikhsan Fandi
Penyerang Singa, Ikhsan Fandi, meraikan jaringan pasukan negara ketika menentang India di perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 menentang India di Stadium Negara pada 9 Oktober. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menjelang minit ke-90, sorakan “Yuh Ayuh, Ayuh, Ayuh, Ayuh, Singapura!” mula berkumandang di Stadium Negara pada 9 Oktober.

Sorakan itu bukan sahaja didengari daripada kumpulan penyokong bola sepak setempat, Singa Brigade, malah hampir 13,232 penyokong turut bersatu dalam kegembiraan apabila kemenangan seakan sudah berada dalam genggaman.

Mereka berharap Singa mengekalkan kelebihan satu gol ketika menentang India di perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 hingga wisel penamat, terutama dengan seorang pemain tambahan sepanjang 45 minit.

Namun, selepas Singa gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan, India hanya memerlukan sedetik hilang tumpuan untuk menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Kumpulan C itu terasa bak satu kekalahan. Ia sekali gus mencerminkan prestasi Singa.

Pada akhir perlawanan, pemain berasa marah, kecewa dan terluka.

Tetapi, jika mereka ingin meraih kelayakan Piala Asia pertama, Singa harus menjadikan perasaan itu sebagai pemangkin semangat untuk bermati-matian menentang lawan yang sama di Goa pada 14 Oktober.

Dengan lima mata selepas tiga perlawanan – seri tanpa jaringan di laman sendiri menentang Hong Kong pada Mac serta kemenangan 2-1 ke atas Bangladesh pada Jun – Singa menduduki tempat kedua, dua mata di belakang Hong Kong yang mengambil alih kedudukan teratas selepas menang 4-3 ke atas Bangladesh pada 9 Oktober.

Berikut lima perkara utama daripada perlawanan tersebut.

Tukar rasa geram, luka kepada kemenangan

Bercakap kepada wartawan di sidang media selepas perlawanan, jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, berkata:

“Pemain memang kecewa, kami baru sahaja berbual mengenainya, tetapi dalam erti kata lain, ia memberi kami semangat tambahan untuk beraksi.

“Saya rasa daripada perlawanan malam ini, kami tahu kemampuan kami, dan persoalannya sekarang, bolehkah kami keluar ke padang dan memastikan kami melakukannya selama 95 minit kali ini?” kata Lee.

Beliau menambah, jendela perlawanan masih belum berakhir dan terdapat tiga mata penting untuk dipertaruhkan Singa.

“Jika kami yakin bahawa kami pasukan yang lebih baik daripada keputusan malam ini, maka tugas kami ialah keluar ke padang dan membuktikannya. Hadapi keadaan yang lebih sukar, harungi cabaran, dan tunjukkan kepada semua siapa kami sebenarnya,” tambahnya.

Jurulatih sementara Singa, Gavin Lee.
Jurulatih sementara Singa, Gavin Lee. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kehilangan tumpuan menghukum Singa

Singa memulakan perlawanan dengan baik apabila Shawal Anuar membuat satu larian bijak dan mengawal hantaran jauh Hariss Harun sebelum Ikhsan Fandi menolak masuk gol antarabangsa ke-22 beliau dalam penampilannya ke-43.

Anak didik Lee kemudian ‘dihadiahkan’ kelebihan satu pemain apabila pertahanan India, Sandesh Jhingan, dilayangkan kedua-dua kad kuning kerana melakukan kekasaran terhadap Ikhsan.

Namun, penyerang India, Rahim Ali, menjadi pemusnah harapan Singa.

Beliau pantas memanfaatkan hantaran lemah daripada pemain Singa, Jordan Emaviwe, dan terus menghalang tendangan penjaga gol, Izwan Mahbud, untuk menjaringkan gol penyamaan bagi pasukan pelawat pada masa kecederaan.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), kapten Singa, Hariss, berkata:

“Selepas kami bermain menentang 10 orang, kami cuba mengambil inisiatif dan memastikan peluang yang ada dimanfaatkan.

“Namun, kami gagal melakukannya, jadi kami menerima padahnya.

“Sekarang, kami perlu melihat ke hadapan, kenal pasti di mana kami boleh memperbaiki prestasi dalam perlawanan di tempat lawan, dan cuba meraih mata.”

Keputusan seri 1-1 di laman sendiri menentang India dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada impian Singa untuk layak ke Piala Asia buat pertama kali.
Keputusan seri 1-1 di laman sendiri menentang India dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada impian Singa untuk layak ke Piala Asia buat pertama kali. - Foto ST

Tidak wajar tuding jari kepada satu pemain sahaja

Walaupun hantaran Jordan yang mengakibatkan gol, kritikan tidak sewajarnya dilontarkan kepadanya seorang.

Penyerang gantian, Ilhan Fandi, mempunyai tiga peluang jaringan, namun mensia-siakannya pada separuh masa kedua.

Pada minit ke-71, pemain berusia 22 tahun itu melepaskan rembatan kaki kiri yang melambung tinggi sebelum cubaan menggunakan kaki kanan pula ditampar Gurpreet Singh Sandhu dalam situasi satu lawan satu.

Beliau juga gagal menyambut hantaran menarik Kyoga Nakamura pada minit ke-85.

Bercakap kepada BH selepas perlawanan, Ilhan berkata bola sepak ialah sukan berpasukan, dan tidak patut menyalahkan Jordan sahaja.

“Memang terasa seperti kekalahan. Inilah yang berlaku dalam bola sepak, bukan kerana seorang individu (Jordan) sahaja kami kalah, ia adalah sukan berpasukan.

“Semua orang bertanggungjawab, dan saya akan memikul tanggungjawab kerana gagal menjaringkan gol. Saya sangat kecewa, tetapi saya perlu terus bekerja keras, dan ya, saya akan menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya,” kata Ilhan.

Penyerang Singa, Ilhan Fandi, mempunyai tiga peluang keemasan untuk meletakkan pasukan negara di depan.
Penyerang Singa, Ilhan Fandi, mempunyai tiga peluang keemasan untuk meletakkan pasukan negara di depan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Walau beraksi dengan 10 pemain, India lebih dahagakan kemenangan

India menunjukkan keazaman yang lebih tinggi dengan kerap menekan pertahanan Singa sambil mempamerkan kelebihan fizikal mereka.

Jurulatih India, Khalid Jamil, berkata mereka bermain lebih baik pada separuh masa kedua dan layak menjaringkan gol tersebut.

“Jika anda berusaha keras, anda akan lebih bernasib baik. Bermain di tempat lawan dengan 10 orang dan memperoleh satu mata adalah kelebihan bagi kami dan kami mesti terus dengan keyakinan ini,” ujarnya.

Jurulatih India, Khalid Jamil.
Jurulatih India, Khalid Jamil. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Shah, Ryhan digantung, Safuwan diragui untuk Goa

Dua tonggak pertahanan Singa, bek kanan, Ryhan Stewart; dan pemain tengah yang beraksi di bek kiri, Shah Shahiran; tidak akan beraksi untuk pertembungan timbal balik di Goa.

Kedua-duanya digantung untuk perlawanan tersebut selepas menerima dua kad kuning di peringkat kumpulan, yang terakhir ketika perlawanan di Stadium Negara.

Kehilangan kedua-duanya pasti dirasai memandangkan mereka mengisi posisi penting skuad negara.

Sementara itu, tonggak pertahanan, Safuwan Baharudin, terpaksa diusung keluar pada 9 Oktober kerana cedera, selepas melakukan beberapa perebutan bola di udara pada minit-minit akhir perlawanan.

Lee berkata mereka perlu menunggu pemeriksaan doktor mengenai situasinya.

Sementara itu, India juga akan kehilangan pemain paling berpengalaman mereka, Jhingan, yang mempunyai 70 penampilan, dan Khalid berkata mereka perlu mencari penyelesaian lain bagi “pemain paling penting kami”.

Bek kanan Singa, Ryhan Stewart (kiri), tidak akan beraksi di perlawanan timbal balik menentang India di Goa pada 14 Oktober akibat penggantungan selepas menerima dua kad kuning di peringkat kumpulan.
Bek kanan Singa, Ryhan Stewart (kiri), tidak akan beraksi di perlawanan timbal balik menentang India di Goa pada 14 Oktober akibat penggantungan selepas menerima dua kad kuning di peringkat kumpulan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Tonggak pertahanan, Safuwan Baharudin (jersi nombor 21), mengalami kecederaan pada minit akhir perlawanan dan perlu diusung keluar.
Tonggak pertahanan, Safuwan Baharudin (jersi nombor 21), mengalami kecederaan pada minit akhir perlawanan dan perlu diusung keluar. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg