DORTMUND: Borussia Dortmund telah mendapatkan khidmat pemain midfield Marcel Sabitzer daripada pesaing mereka dalam liga Jerman, Bundesliga, Bayern Munich.
Pemain antarabangsa Austria berusia 29 tahun itu mengikat kontrak hingga 30 Jun 2027. Dortmund dilaporkan membayar Bayern 15-20 juta euro ($22-29 juta) untuk pemain itu.
Sabitzer meninggalkan Bayern Januari lalu dan dipinjamkan ke Manchester United. Namun, United tidak mengaktifkan klausa untuk membelinya.
“Saya tidak sabar untuk menyertai rakan-rakan sepasukan saya dan menyarung jersi Dortmund,” kata Sabitzer, yang terlepas menyertai skuad Dortmund menjelajah Amerika Syarikat bagi persiapan pramusim.
“Perbincangan bersama pengurus Dortmund berjalan dengan baik sekali dan saya yakin dengan cita-cita serta strategi kelab dalam tahun-tahun akan datang.
“Saya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan Dortmund mencapai semua matlamatnya dan penyokong dapat meraikan sesuatu yang istimewa musim depan dan dalam musim-musim seterusnya,” ujar beliau.
Dortmund tewas dalam saingan kejuaraan liga musim lalu – berdasarkan kiraan jumlah gol yang dijaringkan. Ini setelah pasukan itu hanya mampu seri dalam perlawanan penutup musim 2-2 menentang Mainz. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg