LONDON: England sedang memburu pengurus baru.
Gareth Southgate meletak jawatan sebagai pengurus pasukan bola sepak England yang tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Euro 2024 pada 15 Julai.
Ini selepas beliau memimpin pasukan bergelar, The Three Lions, dalam 102 perlawanan selama lapan tahun.
Prestasi Southgate sukar dicontohi. Selain memimpin pasukan England hingga ke final Euro 2024, Southgate juga membawa pasukan itu ke final pertandingan edisi sebelumnya, Euro 2020; separuh akhir Piala Dunia 2018 dan suku akhir Piala Dunia 2022.
Jadi, siapakah yang boleh menggantikan beliau? Berita Harian (BH) meninjau beberapa calon yang dirasakan sesuai menjadi pengurus England seterusnya.
Mungkin tidak dijangka, tetapi pengurus pasukan bawah 21 tahun England, Lee Carsley, dikagumi Persatuan Bola Sepak (FA) England.
Beliau telah bersama persatuan itu sejak sekian lama dan menjuarai Kejohanan Eropah (bawah 21 tahun) pada musim panas lalu.
Carsley berpotensi menjadi pengurus sementara hingga pengurus ‘nama besar’ diperolehi di masa depan.
Jika beliau dipilih, Carsley mengikuti jejak Southgate, yang menguruskan pasukan bawah-21 antara 2013 dengan 2016 sebelum menjadi bos utama.
Carsley, 50 tahun, telah mengadakan perbincangan untuk menjadi pengurus Republik Ireland pada 2023 tetapi memilih kekal dengan pasukan bawah 21 tahun England.
Jurulatih Manchester City ini telah lama disebut-sebut sebagai calon pengurus antarabangsa pada masa depan dan peranan bersama England pastinya akan menarik minat ramai penyokong The Three Lions.
Setelah memenangi segala-galanya di peringkat kelab bersama Barcelona, Bayern Munich, dan Manchester City, cabaran baru memimpin pasukan nasional mungkin menampilkan peluang baru yang sangat menarik baginya.
Guardiola kini diikat kontrak di City hingga musim panas 2025, tetapi selepas itu, kemungkinan beliau menyertai FA tidak boleh ditolak, walaupun gajinya yang tinggi boleh menjadi hambatan.
Seorang lagi pengurus Inggeris yang disebut-sebut boleh mengurus England ialah Eddie Howe.
Pengurus Newcastle ini telah lama menjadi bahan bualan sebagai calon pengurus England selepas beliau memimpin Bournemouth dengan baik dalam Liga Perdana England.
Beliau juga telah menaikkan reputasinya di Newcastle – membawa mereka ke Liga Juara-Juara Eropah musim 2023-24, meskipun kelab itu terlepas beraksi dalam pertandingan itu pada musim akan datang.
Howe, 46 tahun, terikat dengan kontrak jangka panjang, dijangka hingga 2027, tetapi mungkin sukar untuk Howe menolak peluang jika dilamar England.
Wartawan berita bola sepak BBC Sport, Nizaar Kinsella, berkata: “Mereka yang rapat dengan Howe percaya beliau berada dalam senarai pendek FA, di tengah-tengah laporan meluas mengenai pencalonannya.”
Bercakap pada 16 Julai, ketua eksekutif Newcastle, Darren Eales, berkata kelab itu akan berjuang untuk mengekalkan pengurus mereka itu.
“Kami dalam perjalanan yang menarik dan bagi kami, Eddie adalah orang yang akan memimpin kami,” kata beliau.
Seorang lagi pengurus besar tanpa pekerjaan ialah Jurgen Klopp.
Jika FA memilih langkah melantik seorang jurulatih luar negara, Klopp pasti akan ada dalam senarai calon mereka.
Bekas pengurus Liverpool itu mungkin tidak bersedia setakat ini, setelah melepaskan tanggungjawabnya di Anfield dan ingin berehat.
Tetapi, jika FA bersedia menunggu, Klopp mungkin akan dipertimbangkan.
Berusia 57 tahun, beliau sudah disebut-sebut akan mengisikan jawatan kosong sebagai pengurus pasukan Amerika Syarikat dan sebagai bakal pengganti Julian Nagelsmann di Jerman.
Antara calon lain yang boleh dipertimbangkan untuk menjadi pengurus pasukan England ialah bekas pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino; bekas pengurus Brighton, Graham Potter; bekas pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel; pengurus Ipswich Town, Kieran Mckenna; seorang lagi bekas pengurus Chelsea, Frank Lampard; jurulatih Middlesbrough, Michael Carrick; pengurus Celtic, Brendan Rodgers; dan pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg