SANTA CLARA (California): Pemain Paraguay, Miguel Almiron, mencatat rekod sejarah bola sepak yang tidak diingini pada 19 Jun, selepas menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah kerana tindakan menutup mulut ketika pertelingkahan di atas padang.

Ia merupakan penguatkuasaan pertama di bawah peraturan baru Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Almiron diarah keluar padang pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas bertindak menutup mulutnya ketika dilihat melemparkan komen kepada pemain Turkey, Mert Muldur, dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia di Santa Clara, California.

Fifa sebelum ini mengumumkan pada April bahawa mana-mana pemain yang menutup mulut mereka ketika pertelingkahan dengan pihak lawan akan dikenakan kad merah.

Menurut Fifa, inisiatif yang mula diperkenalkan pada Piala Dunia kali ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk membanteras isu perkauman.

Peraturan baru itu diperkenalkan susulan kontroversi pada awal 2026 apabila pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni, dituduh mengeluarkan kata-kata perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Jr, semasa perlawanan Liga Juara-Juara pada Februari.

Prestianni menafikan dakwaan perkauman tersebut, namun beliau kemudian digantung selama enam perlawanan – dengan tiga daripadanya digantung secara bersyarat – atas kesalahan ‘kelakuan homofobik’.

Presiden Fifa, Gianni Infantino, merupakan antara penyokong kuat undang-undang baru itu.

“Jika anda tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan, anda tidak akan menutup mulut apabila bercakap. Itu sahaja, ia semudah itu,” kata Infantino pada Mac lalu. – AFP.