Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain pertahanan Sailors terima biasiswa Unleash The Roar!, lanjut latihan di Florida

Seri Nurinsyirah anggap pengalaman bermain dengan pasukan lelaki sejak di sekolah rendah corak daya saing di padang
Jul 17, 2025 | 8:30 PM
Seri Nurinsyirah Indra Saharen, Lion City Sailors, Biasiswa Luar Negara Unleash The Roar!, bola sepak
Pemain pertahanan Lion City Sailors, Seri Nurinsyirah Indra Saharen,  menerima Biasiswa Luar Negara Unleash The Roar! hasil semangat kental dan keghairahannya dalam bola sepak sejak kecil. Ketekunan dan prestasinya menarik perhatian, lalu membawanya ke pentas antarabangsa menerusi biasiswa yang membuka peluang latihan dan pengajian di IMG Academy di Amerika Syarikat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Semangat dan keghairahan Seri Nurinsyirah Indra Saharen dalam sukan bola sepak tercetus seawal usia sembilan tahun.

Walaupun masih muda remaja, dia telah membina nama dan prestasi sebagai pemain pertahanan yang teguh dan berkemahiran sehingga mendapat tawaran menyertai pasukan kebangsaan Bawah 16 Tahun (U-16) dan Bawah 19 Tahun (U-19), ketika berusia 14 tahun pada 2023.

Kerana minat mendalam, Seri, kini 16 tahun, mula berlatih dengan pasukan bola sepak lelaki di Sekolah Rendah Naval Base, memandangkan sekolahnya itu tiada pasukan bola sepak perempuan.

Selepas itu, dia menyertai pasukan Espzen, pertubuhan persatuan bola sepak amatur yang berpangkalan di Singapura dan kemudian ke LFA yang dinamakan semula sebagai Akademi Bola Sepak Lion City Sailors, di mana dia bermain dan bersaing bersama pasukan lelaki juga.

Ternyata, segala usaha dan ketabahannya membuahkan hasil, kerana Seri kini merupakan salah seorang daripada tujuh penerima Biasiswa Luar Negara, yang disampaikan gerakan nasional mempertingkat mutu bola sepak Singapura, Unleash The Roar! (UTR).

Biasiswa tersebut menyokong atlet muda yang masih belajar dalam memajukan kerjaya bola sepak mereka di luar negara.

Seramai enam remaja perempuan dan seorang lelaki bakal terbang ke Amerika Syarikat atau Sepanyol selama dua hingga empat tahun, dalam misi memperkasa mereka di padang mahupun di dalam pengajian masing-masing.

Selain Seri, Edan Kei McCulloch, 14 tahun; Celine Koh Jia Ying, 15 tahun; Lamasan Chantale Rose Koh, 16 tahun; Liyana Indah Rickit, 16 tahun; Veronoa Lim Ruo Ya, 15 tahun; dan Yuvika Suresh, 15 tahun, merupakan penerima biasiswa berkenaan.

Dengan penerimanya terdiri daripada sebilangan kaum Hawa, ia mencerminkan peningkatan profil bola sepak wanita di Singapura.

Kesemua penerima wanita ini memainkan peranan penting dalam Piala Lion City 2025, di mana Singapura mendapat gelaran naib juara, ditewaskan oleh pasukan bola sepak wanita dari Korea Selatan.

Biasiswa yang diperkenalkan pada 2023 dan telah diperolehi 18 belia sebelum ini, disampaikan di Restoran Ginger@Parkroyal on Beach Road, pada 17 Julai.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan), hadir sebagai tetamu terhormat majlis penyampaian biasiswa itu.

Menyingkap pencapaiannya, Seri berkata: “Bermain dengan pemain lelaki menjadi sebahagian besar pengalaman yang mencorak kelakonan cemerlang saya sebagai pemain bola yang lebih tangkas.

“Mereka lebih pantas dan agresif, lantas mendorong saya untuk mempertingkat mutu permainan dan kemahiran saya.

“Persaingan dan intensiti bermain dengan pemain lelaki telah membantu saya menjadi pemain yang lebih baik.

“Saya tidak menjangkakan akan menerima tawaran biasiswa ini tetapi saya berbesar hati diberi peluang keemasan ini, berkat kerja keras saya yang dilihat pihak pengurusan Sailors dan dihargai,” kata Seri.

Penolong jurulatih pasukan wanita Sailors, Izz Haziq Izan, 26 tahun, berkata Seri memang layak menerima biasiswa tersebut.

“Seri mempunyai ketekunan dan semangat juang yang hebat disertai dengan kebolehan yang sepadan.

“Komitmen dan dedikasinya amat penting dalam perkembangannya bersama LCS dan dia memang layak menerima biasiswa tersebut,” jelas Izz.

Seri Nurinsyirah Indra Saharen (barisan belakang, tiga dari kiri) merupakan antara tujuh penerima Biasiswa Luar Negara ‘Unleash the Roar!’ – inisiatif pembangunan bola sepak negara yang memberi peluang kepada pelajar berbakat untuk melanjutkan pelajaran dan latihan bola sepak di luar negara.
Seri Nurinsyirah Indra Saharen (barisan belakang, tiga dari kiri) merupakan antara tujuh penerima Biasiswa Luar Negara ‘Unleash the Roar!’ – inisiatif pembangunan bola sepak negara yang memberi peluang kepada pelajar berbakat untuk melanjutkan pelajaran dan latihan bola sepak di luar negara. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Acara gilang-gemilang itu turut dihadiri ibu bapa penerima biasiswa tersebut.

Seri akan menyambung pelajaran dan bermain untuk IMG Academy, sebuah institusi sukan, prestasi dan pendidikan berprestij di Bradenton, Florida, Amerika Syarikat.

Dia dijangka akan berangkat pada 31 Ogos untuk meneruskan pengajian dan latihannya di rantauan.

Ditanya apakah harapannya, Seri berkata:

“Saya ingin menimba pengalaman dan pengetahuan daripada pemain dan jurulatih luar negara, mempelajari sistem baru, berkawan, dan mencabar diri saya agar keluar dari zon selesa saya.”

Ibu bapa Seri pula bangga dengan pencapaian anaknya dan memberikan sokongan penuh kepadanya.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu ada rasa bimbang menyelinap dalam hati kerana anak saya akan ke luar negara. Namun kami bangga dengan pencapaian Seri dan mempercayainya kerana dia sudah berdikari sejak menuntut di Sekolah Sukan Singapura,” kata ibunya, Aniza Musa, 42 tahun, guru jagaan pelajar.

Tingkat mutu permainan

Bermain dengan pemain lelaki menjadi sebahagian besar pengalaman yang mencorak kelakonan cemerlang saya sebagai pemain bola yang lebih tangkas. Mereka lebih pantas dan agresif, lantas mendorong saya untuk mempertingkat mutu permainan dan kemahiran saya. Persaingan dan intensiti bermain dengan pemain lelaki telah membantu saya menjadi pemain yang lebih baik.
Ingin timba pengalaman

Saya ingin menimba pengalaman dan pengetahuan daripada pemain dan jurulatih luar negara, mempelajari sistem baru, berkawan, dan mencabar diri saya agar keluar dari zon selesa saya.
Seri Nurinsyirah Indra Saharen, penerima Biasiswa Luar Negara ‘Unleash The Roar!’.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg