Pemain polo air negara, Heather Lee, menerima e-mel pada September 2024 yang membawa berita menggembirakan... dan juga menimbulkan dilema.
Beliau terpilih untuk Program Biasiswa World Aquatics, yang baru sahaja diperluaskan untuk menyertakan pemain polo air.
Namun, ini bermakna beliau juga terpaksa membuat keputusan sukar kerana beliau baru sahaja memulakan pekerjaan dalam bidang analisis data beberapa bulan lalu.
Selepas berbincang dengan ibu bapa, rakan sepasukan, jurulatih dan bosnya, Lee meletakkan jawatan untuk mengambil peluang keemasan yang membolehkannya berlatih dengan kelab Yunani, ANC Glyfada, mulai 12 November 2024.
Tempoh latihan tersebut berakhir pada 30 Jun 2025.
Pemain 24 tahun itu berkata: “Ia sememangnya bukan pilihan yang mudah... Saya perlu mengambil masa dan membuat keputusan tentang apa yang saya mahukan dalam kerjaya sukan dan profesional saya.”
Dengan beberapa acara besar yang akan datang pada 2025 dan 2026, beliau memutuskan untuk mengambil peluang ini “demi menjadi lebih baik untuk pertandingan-pertandingan yang akan datang, dengan pasukan saya dan saya berusaha untuk melakukan yang terbaik dan membawa kejayaan kepada Singapura”.
Lee sering berkongsi pengajaran yang diperoleh di Greece dengan rakan sepasukannya di Singapura dan berharap ini akan membantu mereka bersedia dengan lebih baik untuk Kejohanan Dunia Aquatics pada 11 Julai hingga 3 Ogos di Singapura, Sukan SEA pada 9-20 Disember di Thailand dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Program Biasiswa World Aquatics, yang dilancarkan pada 2014 untuk memberikan bantuan kewangan dan teknikal kepada atlet dengan pencapaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, turut melibatkan 100 perenang, 20 perenang air terbuka, 20 penyelam dan 10 duet renang artistik.
Di bawah program ini, pemain polo air diberi peluang menyertai kelab Eropah untuk satu musim.
Walaupun hanya kurang daripada dua bulan sejak Lee tiba di Glyfada, sebuah kawasan di Riviera Athenian, ia telah menjadi pengalaman yang membuka mata baginya.
Beliau berkongsi tentang budaya polo air yang kuat di Greece, dengan perlawanan kelab mingguan yang dimainkan di hadapan penuh penonton.
Sokongan yang kuat terhadap sukan ini tidak menghairankan, kerana Greece adalah antara negara polo air terbaik di dunia.
Pasukan wanita mereka meraih pingat perak di Sukan Olimpik Athens, juara dunia 2011 dan naib juara Kejohanan Eropah dua tahunan sebanyak empat kali dari 2010 hingga 2022.
Sambil menanti kemungkinan debut (permainan pertama) kompetitifnya pada hujung Januari, beliau telah berusaha untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan yang lebih pantas.
Menyatakan bahawa latihan sering fokus pada taktik berbanding kemahiran individu, Heather berkata: “Pendedahan kepada gaya permainan dan strategi yang berbeza akan meningkatkan keupayaan saya untuk menyesuaikan diri dalam sebarang situasi.
“Bersaing pada tahap yang lebih tinggi di sini juga akan membantu saya memahami apa yang diperlukan untuk menjadi pemain polo air elit, membina ketahanan mental selain kecemerlangan fizikal.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg