Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wira renang negara, Lionel Chee, kongsi rahsia jaya

May 14, 2024 | 3:16 PM
Lionel Chee (kanan) bergambar bersama rakan sepasukan renang  berganti-ganti (dari kiri) Neo Chwee Kok dan Tan Hwee Hock pada percubaan acara renang Sukan Asia pada 12 Januari 1951. Mereka  memenangi pingat perak dalam acara renang berganti-ganti 3x100 meter pada tahun itu.
Lionel Chee (kanan) bergambar bersama rakan sepasukan renang berganti-ganti (dari kiri) Neo Chwee Kok dan Tan Hwee Hock pada percubaan acara renang Sukan Asia pada 12 Januari 1951. Mereka memenangi pingat perak dalam acara renang berganti-ganti 3x100 meter pada tahun itu. - Foto fail

Ketika tiba di New Delhi, India, untuk menyertai acara sulung Sukan Asia, bekas perenang negara, Lionel Chee, terkejut dengan suhu air semasa hari pertama jalani latihan.

Kini berusia 92 tahun, beliau tidak banyak ingat tentang penglibatan sukannya, tetapi dengan jelas mengimbau pengalaman itu pada Mac 1951.

Bercakap kepada The Straits Times sehari sebelum majlis makan malam sempena ulang tahun ke-85 Singapore Aquatics pada 10 Mei lalu, yang menyaksikan beliau dinobatkan ke dalam Dewan Kemasyhuran sulung persatuan itu, Chee berkata:

“Kami berasa bagai dicucuk-cucuk pin dan jarum pada badan kami kerana airnya sangat sejuk. Tetapi kami perlu menyesuaikan diri, tiada pilihan lain.”

Kesungguhan untuk menyesuaikan diri adalah apa yang beliau dan seluruh pasukan renang berganti-ganti 4x100 meter gaya bebas Singapura – Neo Chwee Kok, Barry Mitchell dan Wiebe Wolters – lakukan, ketika mereka rangkul pingat emas, satu daripada lima gelaran di temasya itu.

Chee berkata: “Ia adalah satu penghormatan dan kebanggaan bagi kami.”

Beliau kekal sebagai ikon dalam sejarah sukan Singapura, sebagai salah seorang atlet yang memenangi pingat di peringkat benua dalam pelbagai disiplin.

Di India, beliau turut meraih pingat perak dalam pertandingan polo air lelaki dan renang berganti-ganti 3x100m bersama Neo dan Tan Hwee Hock.

Semasa Chee berjalan-jalan ke Pusat Konvensyen Raffles City dengan tongkat di tangan, beliau melemparkan senyuman. Tidak dinafikan beliau adalah seorang legenda dan satu-satunya anggota pasukan renang berganti-ganti yang masih hidup.

Chee, dilahirkan di Singapura pada 1931, menerima pendidikan di sekolah Jepun semasa Perang Dunia II.

Beliau mula belajar berenang ketika berusia 16 tahun, dan menyertai Kelab Renang Cina (CSC) kerana yuran langganan adalah berpatutan.

“Saya ceburi bidang renang dan saya sangat menyukainya. Saya melakukan semua kegiatan renang di sana, berlatih di bawah jurulatih Kee Soon Bee.”

Chee, yang berkhidmat dalam Pasukan Polis Singapura dari 1952 hingga 1981, menambah: “Latihan renang diadakan setiap hari, sedangkan kami berlatih untuk polo air hanya setiap Ahad, selama kira-kira empat jam… Pada siang hari, saya sibuk dengan kerja. Pada waktu malam, ketika itulah saya berlatih.”

Beliau menyifatkan komitmen untuk berlatih dan berbangga mewakili Singapura sebagai faktor di sebalik kejayaannya.

“Anda perlu berlatih bersungguh-sungguh untuk berjaya dan penuh berdedikasi dalam sukan ini. Ia melibatkan soal kerja keras dan gigih berlatih untuk cemerlang,” ujar Chee.

Mengimbau kembali pingat emas bagi acara renang berganti-ganti bersejarahnya, Chee berkata kehebatan Neo, yang memenangi tiga lagi emas pada acara Asiad 1951 (renang bebas 400m, 800m dan 1,500m), merupakan faktor pendorong.

“Kami berkawan baik, dan tidak syak lagi beliau adalah yang terbaik pada masa itu. Kami cuba menjadi lebih pantas daripadanya, tetapi dia sentiasa lebih baik,” tambahnya.

Satu lagi detik yang tidak dapat dilupakan ialah apabila beliau menjadi pembawa bendera di Sukan Olimpik Melbourne pada 1956. Chee berkata: “Saya bangga mewakili Singapura, berarak ke stadium bersama bendera dan pasukan Singapura.” - ST

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg