Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain pool Aloysius Yapp ingin rehat selepas bantu Pasukan Asia kekal Piala Reyes

Oct 21, 2025 | 2:56 PM
sukan, pool, Aloysius Yapp
Aloysius Yapp (kiri) berharap kejayaan mempertahankan gelaran Piala Reyes pada 19 Oktober akan memberinya suntikan semangat yang tepat pada masanya. - Foto MATCHROOMPOOL/ INSTAGRAM

Aloysius Yapp, yang menghabiskan lapan daripada 10 bulan pada 2025 bersaing di Vietnam, Bosnia, Taiwan, England, Indonesia, Amerika Syarikat, dan China, berasa letih kerana mempunyai jadual yang sibuk seperti itu pada 2024.

Namun, seperti kemenangan Piala Reyes pertama bersama Pasukan Asia di Filipina pada 2024, Yapp berharap kemenangan Piala Reyes pada 19 Oktober akan memberinya suntikan semangat yang tepat pada masanya, lapor The Straits Times (ST).

Pemain berusia 29 tahun itu berkata: “Memang terasa manis dapat memenangi piala ini berturut-turut untuk (legenda pool Filipina) Efren Reyes dan kapten kami, Francisco Bustamante.

“Selepas semua perjalanan ini, saya memang agak letih. Tetapi kejohanan ini telah memberi saya sedikit tenaga dan semangat untuk bermain lagi.

“Pada 2024, rakan sepasukan memberikan kata-kata semangat yang memberi keyakinan dan membantu saya menikmati permainan. Pada 2025 pula, mereka terus memberi dorongan dan motivasi, menjadikan latihan dan pertandingan lebih menyeronokkan, sekali gus mengurangkan tekanan saya.”

Pasukan Asia, yang terdiri daripada Yapp, pemain nombor 2 Jelajah Nineball Dunia (WNT); bersama pemain Filipina, Carlo Biado (ketiga), Johann Chua (keempat), dan Albert Manas (ke-66); serta pemain Vietnam, Duong Quoc Hoang (ke-23), berjaya meraih gelaran berturut-turut.

Mereka mencatat kemenangan 11-3 ke atas Pasukan Rest of the World yang terdiri daripada permain Russia-Amerika, Fedor Gorst (nombor 1), Moritz Neuhausen (ketujuh) dari Jerman, Francisco Sanchez Ruiz (ke-11) dari Sepanyol, Jayson Shaw (ke-17) dari Britain, dan Skyler Woodward (ke-27) dari Amerika.

Piala Reyes, yang dipertandingkan dengan format seperti Piala Mosconi Eropah lawan Amerika Syarikat, menyaksikan perlawanan beregu dan perseorangan, dengan pasukan yang pertama mengumpul 11 mata dinobatkan juara. 

Edisi 2024 menyaksikan Pasukan Asia mengalahkan Pasukan Eropah 11-6.

Walaupun tiada mata ranking dipertandingkan, setiap pemain yang menang membawa pulang AS$20,000 ($25,900), manakala pemain dalam pasukan yang kalah menerima AS$10,000 setiap seorang.

Yapp menyumbang lima mata dalam kemenangan dominan itu melalui acara perseorangan, beregu dan berpasukan.

Namun, beliau memberi pujian kepada Manas, 18 tahun, yang bermula sebagai pilihan kapten dan akhirnya dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai selepas meraih kemenangan meyakinkan dalam acara perseorangan menentang Gorst.

Bagi Yapp, kemenangan itu melanjutkan rekod kecemerlangannya dalam tempoh 12 bulan terakhir.

Beliau telah menjuarai Terbuka Antarabangsa pada November 2024 dan Terbuka UK pada Mei, sebelum mencatatkan kejayaan hebat pada Ogos apabila menjuarai Terbuka Florida, Terbuka Amerika, serta Terbuka Formosa Cup Taipei Pool dan Piala Antidadah di Taiwan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg