Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain pool Aloysius Yapp juarai Terbuka Amerika

Kemenangan tandakan satu lagi pencapaian besar dalam kerjaya
Aug 25, 2025 | 2:42 PM
Sambil menyarung jaket hijau berprestij bagi pemenang, Aloysius Yapp menjulang Piala Barry Behrman Terbuka Amerika selepas memenangi tiga kejuaraan utama ‘Matchroom’ secara berturut-turut pada 23 Ogos.
Sambil menyarung jaket hijau berprestij bagi pemenang, Aloysius Yapp menjulang Piala Barry Behrman Terbuka Amerika selepas memenangi tiga kejuaraan utama ‘Matchroom’ secara berturut-turut pada 23 Ogos. - Foto MATCHROOM POOL

Selepas bertahun-tahun berusaha gigih dan mengalami kekalahan yang mengecewakan dalam perlawanan akhir 2021, pemain pool terbaik Singapura, Aloysius Yapp, akhirnya berjaya meraih piala kejohanan pool Barry Behrman Terbuka Amerika.

Beliau turut menerima sehelai jaket hijau berprestij dengan kemenangan tersebut.

Pada 23 Ogos, Yapp, 29 tahun, menewaskan Fedor Gorst 13-11 dalam final yang mendebarkan selama tiga jam di Pusat Peranginan Harrah, Atlantic City, selepas kemenangan separuh akhir 11-4 ke atas bekas juara dunia dari Taiwan, Ko Pin-yi.

Dengan kemenangan itu, Yapp muncul sebagai pemain pertama yang memenangi tiga kejuaraan utama Matchroom secara berturut-turut, selepas menjuarai kejohanan pool Terbuka Britain pada Mei, dan Terbuka Florida pada awal Ogos.

Tiada siapa yang pernah memenangi kejuaraan utama secara berturut-turut sebelum Yapp meraih dua kejuaraan pertamanya, lapor The Straits Times (ST).

Selepas menyempurnakan kemenangan ketiga berturut-turut pada kejohanan tersebut dengan hadiah sebanyak AS$500,000 ($641,000), pemain kidal itu berkata:

“Ini sememangnya pencapaian tertinggi kerana saya tahu betapa berprestijnya kejohanan ini.

“Saya hilang kata-kata... sukar mempercayainya. Saya memberinya banyak peluang (untuk menang), tetapi saya juga sangat bernasib baik. Saya rasa sangat lega sekarang.

“Tangan saya menggeletar, saya tidak dapat memegang kayu cue dengan lurus.”

Dengan hadiah wang tunai AS$100,000 menanti, para pemain terbaik dunia turut merasai debaran dalam acara sebesar ini.

Gorst, juara 2024 yang menyertai perlawanan akhir Terbuka Amerika buat kali ketiga berturut-turut, bukan sahaja gagal menyempurnakan pukulan lompatan yang menjadi keistimewaannya, malah turut tersilap dalam pukulan mudah ketika Yapp mendahului 8-3 dan 10-5 dalam format perlumbaan 13 set tersebut.

Namun, pemain Amerika kelahiran Russia berusia 25 tahun itu, yang menang 10-9 dalam pusingan 16 pemain terbaik dan suku akhir, berjaya menyamakan kedudukan 10-10 dan 11-11.

Bagaimanapun, Yapp berjaya menebus kekecewaannya pada final 2021 setelah tewas kepada Carlo Biado dari Filipina, dan kalah 11-0 kepada juara Taiwan, Ko Ping-chung, pada edisi 2023, apabila Gorst melakukan lebih banyak kesilapan dalam perlawanan tersebut.

Dalam pusingan kedua terakhir, Gorst gagal menyempurnakan bola 2 yang mudah, tetapi Yapp pula gagal memanfaatkan bola percuma dan gagal memasukkan bola 5.

Gorst akhirnya tewas dalam pertarungan itu apabila beliau gagal melakukan pukulan lompatan pada bola 6, sekali gus memberi peluang kepada Yapp menamatkan pusingan tersebut.

Dalam pusingan penentu, Yapp gagal memasukkan bola 2, namun Gorst juga gagal memasukkan bola 3 dan menghempas kayu cue di atas meja apabila menyedari beliau sudah kalah dalam perlawanan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg