Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemain pool profesional, Aloysius Yapp, dinobat Olahragawan Terbaik 2026
Pemain pool profesional, Aloysius Yapp, dinobat Olahragawan Terbaik 2026
Pemain boling, New Hui Fen rangkul anugerah Olahragawati Terbaik buat kali kedua
Pemain pool profesional, Aloysius Yapp, dinobat Olahragawan Terbaik 2026
Pemain pool profesional, Aloysius Yapp telah dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik 2026 di Anugerah Sukan Singapura 2026.
Pemain boling negara, New Hui Fen pula merangkul anugerah Olahragawati Terbaik buat kali kedua.
Yapp yang berusia 30 tahun, menerima pengiktirafan pertama kali itu menyusuli prestasi cemerlang sepanjang 2025, di mana beliau merangkul 10 gelaran kejohanan yang menakjubkan.
Pada April lalu, beliau mengejutkan dunia selepas muncul sebagai juara dunia 8-bola, sekali gus mencipta sejarah sebagai juara dunia pertama Singapura dalam sukan tersebut.
Beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana sedang bertanding di Indonesia.
Sementara itu, New, 34 tahun telah menghasilkan musim 2025 yang luar biasa apabila melakar sejarah sebagai rakyat Singapura pertama, dan hanya warga Asia kedua, yang berjaya meraih gelaran rebutan Pemain Terbaik pada Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) 2025.
Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Marina Bay Sands itu meraikan kejayaan komuniti sukan sepanjang tahun 2025, termasuk atlet, jurulatih, kakitangan sokongan, jurugambar dan wartawan sukan.
Bercakap kepada pihak media di majlis tersebut, New tidak menyangka dapat merangkul anugerah itu, memandangkan beliau perlu bersaing dengan calon-calon hebat lain.
Beliau menganggap pemain golf Shannon Tan, yang turut mempamerkan aksi cemerlang di peringkat dunia sepanjang musim 2025, sebagai pesaing utamanya.
“Secara jujurnya, saya terkejut terdengar nama saya diumumkan, kerana atlet lain yang disenaraikan juga sangat hebat. Namun, saya rasa kedua-dua pencapaian kami memang bersejarah.
“Saya rasa musim yang lalu merupakan yang terbaik sejauh ini. Saya masih ada beberapa kejohanan sebelum akhir tahun ini, dan saya berharap dapat beraksi dengan lebih baik,” katanya.
Kali terakhir New memenangi anugerah tersebut ialah pada 2017 atas kejayaan merangkul pingat perak di Kejohanan Perseorangan Boling Dunia.
Sementara itu, Grandmaster Catur paling muda dalam sejarah Singapura, Siddharth Jagadeesh, merangkul anugerah Olahragawan Muda Lelaki Terbaik buat julung-julung kalinya.
Atlet 19 tahun, yang kini menjalani Perkhidmatan Negara, terpaksa mengharungi musim 2025 yang mencabar, apabila kedudukan dunia beliau merosot, sekali gus menjejaskan keyakinannya.
Namun, beliau tebus detik itu, sehingga berlatih sekitar lapan jam setiap hari. Usahanya itu berbaloi apabila beliau muncul juara di Kejohanan Catur Bawah umur 18 Tahun Dunia, sekali gus menjadi Juara Catur Belia Dunia yang pertama dari Singapura.
Atlet gimnastik artistik, Amanda Yap, pula meraih Anugerah Olahragawati Muda Terbaik.
Di Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik FIG 2025 di Jakarta, atlet berusia 16 tahun ini mempamerkan aksi yang membanggakan apabila menjadi atlet gimnastik Singapura pertama yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Kejohanan Dunia Kategori Senior.
Beliau mencapai itu sambil mengimbangi tuntutan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.
Anugerah tersebut dianjurkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG), dengan sokongan Tote Board.
Turut menghadiri majlis tersebut ialah Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang juga Presiden SNOC, serta Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.
Dalam ucapannya, Cik Fu menyifatkan 2025 sebagai tahun yang sukar dilupakan untuk sukan.
“Sama ada di pentas serantau, benua, mahupun dunia, atlet kita telah mempamerkan aksi yang mencuri tumpuan seluruh negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Singapura dalam arena sukan antarabangsa.”
“Sesuatu yang amat menggalakkan juga adalah kemunculan generasi atlet baharu,” tambah Cik Fu.
Selain 12 anugerah utama, Anugerah Gemilang turut diberikan kepada atlet dan pasukan untuk menghargai semangat juang dan prestasi yang membanggakan.
Anugerah Gemilang untuk jurulatih turut diperkenalkan, untuk menghargai jasa bakti mereka yang menjadi pemangkin untuk atlet mencapai kejayaan.
Cik Fu turut menekankan kepentingan meraikan individu di sebalik kejayaan atlet, termasuk jurulatih, pegawai, pihak penganjur dan jurugambar, yang bersama-sama menyumbang kepada persekitaran kondusif untuk atlet terus maju.
Sumbangan wartawan juga tidak terkecuali daripada anugerah itu.
Penolong Editor Sukan The Straits Times, Rohit Brijnath, merangkul anugerah Laporan Terbaik buat kali keenam.
Antara finalis anugerah tersebut ialah wartawan sukan Berita Harian (BH), Khairul Akmal Ali.
Liputan beliau bertajuk, ‘Bangkit dari kekecewaan, temui ‘cinta’ semula dalam gelanggang wushu’, berjaya menyingkap semangat kental Siti Khadijah Shahrem, yang menceburi gelanggang tanding baharu.
Rencana Khairul mengabadikan kedukaan dan emosi Khadijah yang tidak terpilih untuk menyertai skuad silat ke Sukan SEA 2025, ketika atlet itu bangkit mempersiapkan diri untuk mewakili negara dalam kategori Sanda bagi sukan wushu.
Bercakap kepada BH, Khairul amat bersyukur menerima pengiktirafan di samping wartawan berbakat lain di Singapura.
“Saya menghargai atlet yang sudi menceritakan perjalanan mereka. Kami yang menulis, tetapi ia semua hasil kisah, perjalanan dan pengorbanan atlet,” kata beliau, yang berusia 27 tahun.
Khairul, yang sudah berumah tangga, berkata:
“Bagi saya, kisah Khadijah adalah sumber inspirasi yang amat besar. Keberanian dan pengorbanan beliau untuk bangkit semula demi menerokai sesuatu yang baharu amat mengagumkan.”
“Anugerah ini memperkukuhkan lagi kepercayaan bahawa wartawan umpama jembatan antara atlet dan rakyat Singapura.
“Saya akan terus mengikuti perjalanan dan perjuangan mereka dan menyampaikannya kepada semua agar kisah mereka dapat diketahui ramai.”
