Topic followed successfully
Go to BHkuPSG ujian besar buat Arsenal di final
PSG ujian besar buat Arsenal di final
Pasukan serba lengkap Luis Enrique kian digeruni jelang aksi final pada 30 Mei
PSG ujian besar buat Arsenal di final
MUNICH: Kepakaran Ketua Jurulatih, Paris St-Germain (PSG), Luis Enrique, dalam membentuk semula budaya serta corak permainan pasukan itu bermakna Arsenal bakal berdepan sebuah skuad serba lengkap apabila mereka bertemu PSG di pentas final Liga Juara-Juara pada 30 Mei.
Awalnya penyokong Bayern Munich mengibarkan kain rentang dengan slogan, ‘Bawa kami ke final’, dalam suasana penuh bertenaga pada 6 Mei, ketika pasukan mereka cuba bangkit daripada kekalahan 4-5 oleh PSG menyusuli perlawanan separuh akhir pertama di Paris.
Ternyata, PSG menyahut cabaran tersebut dengan menjaringkan gol awal pada minit ketiga.
Bintang Georgia, Khvicha Kvaratskhelia, melakukan larian pantas di sayap sebelum menghantar bola kepada Ousmane Dembele, yang merembat kencang, menewaskan penjaga gol, Bayern, Manuel Neuer.
Gol penyamaan Harry Kane pada masa kecederaan tidak lebih sekadar satu sagu hati buat Bayern, memandangkan ia hadir hanya beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan.
Beberapa ketika kemudian, PSG meraikan kejayaan melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut, sekali gus berpeluang mempertahankan takhta kejuaraan yang dimenangi selepas membelasah Inter Milan 5-0 musim lalu.
Enrique meraikan kemenangan di padang Allianz Arena, sama seperti yang dilakukannya selepas final 2025, dengan PSG sekali lagi membuktikan sebab mereka harus dianggap sebagai antara pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak moden.
Arsenal pastinya hadir dengan keyakinan tinggi dalam penampilan sulung mereka di final Liga Juara-Juara selepas 20 tahun, namun, hakikatnya mereka berdepan tugas cukup berat di Hungary nanti.
Ini kerana Pengurus The Gunners, Mikel Arteta, perlu menewaskan seorang pakar strategi dan ‘arkitek’ bola sepak yang cukup hebat iaitu Enrique.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu adalah watak utama di sebalik wajah baru PSG ini – yang dibina semula daripada sisa peninggalan bintang seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar yang menjadi tunjang pasukan penuh ego namun tidak menunjukkan semangat sebuah pasukan sebenar.
Enrique, yang pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Barcelona pada 2015, menetapkan syarat tegas agar setiap pemain mengetepikan ego masing-masing demi pasukan atau mereka akan disisihkan.
Hasilnya, PSG kini memiliki gabungan sempurna kemahiran individu luar biasa serta etika permainan bermutu tinggi.
Skuad ini bakal menjadi halangan besar buat Arsenal dengan ketangkasan mereka di bahagian pertahanan yang dipimpin kapten kelab, Marquinhos.
Pemain pertahanan Brazil itu tiba di PSG dari kelab Italy, Roma, pada 2013 dan berjaya mengekalkan kedudukannya ketika Enrique melakukan ‘pembersihan’ besar-besaran terhadap nama besar.
Ini kerana Enrique cukup bijak menilai profesionalisme tinggi dan mutu pertahanan kelas dunia yang ada pada Marquinhos.
Marquinhos membentuk gandingan mantap bersama Willian Pacho, yang memainkan peranan penting dalam mengekang Kane sepanjang perlawanan sebelum kapten pasukan England itu menjaringkan gol pada saat-saat akhir.
Di bahagian serangan, Kvaratskhelia dan Dembele menjadi pemacu kemenangan, manakala pemain muda berusia 20 tahun, Desire Doue, kerap kali mengucar-ngacirkan skuad kendalian Vincent Kompany sepanjang separuh masa kedua.
Namun, individu yang menyatukan pasukan ialah Marquinhos, yang sentiasa berada di posisi yang tepat pada waktu tepat, sambil mempamerkan kewibawaan cukup tenang.
Melengkapkan kekuatan PSG ialah barisan pemain tengah yang terdiri daripada Vitinha, Fabian Ruiz, dan Joao Neves.
Hantaran Ruiz yang membawa kepada gol Dembele adalah satu karya seni, namun selepas itu, beliau kembali melakukan tugas pertahanan seperti yang dituntut oleh Enrique – satu tanggungjawab yang dipikul dengan senang hati oleh setiap pemain. – Agensi berita.
