GENEVA: Kedudukan dan takhta Juara Bola Sepak Eropah Wanita, England, nampaknya terancam dan akan berakhir, namun pemain di bangku simpanan bangkit menyelamatkan pasukan mereka apabila pemain gantian, Michelle Agyemang dan Chloe Kelly, merembat gol yang meletakkan mereka ke final Euro 2025.
Ketinggalan 1-0 hingga ke masa kecederaan separuh masa kedua menentang Italy, juara bertahan itu kelihatan lemas, tetapi Agyemang menyamakan kedudukan untuk memaksa masa tambahan dan Kelly merampas kemenangan untuk mengesahkan tempat England ke final di Basel pada 27 Julai.
Untuk perlawanan kedua berturut-turut, pasangan itu membantu England dan jurulatih England, Sarina Wiegman mempunyai beberapa masalah pemilihan menjelang penentuan menentang Jerman atau Sepanyol.
Sama seperti yang dia lakukan ketika menentang Sweden pada suku akhir, Agyemang bangkit dari bangku simpanan untuk menyamakan kedudukan.
Meskipun permainan itu menuju ke penentuan sepakan penalti, namun Kelly sempat bertindak dengan hanya memerlukan lantunan daripada satu sepakan penalti lewat untuk menghantar pasukannya ke mercu kejayaan.
Soalnya, adakah kedua-duanya akan bermula pada perlawanan akhir?
Atau adakah mereka lebih baik ditempatkan di bangku simpanan?
Agyemang telah menjadi pemain yang hebat untuk England dalam penampilan sebagai pemain gantian sehingga kini, memberikan kuasa, fizikal dan menghidu gol ketika mereka amat diperlukan - sesuatu yang baik bagi pemain berusia 19 tahun yang mula bermain untuk perlawanan England di Wembley hanya empat tahun lalu.
Tugas sayap yang dipikul Kelly juga patut dicontohi.
Keyakinannya yang tidak pernah goyah, membolehkannya mencipta peluang secara berterusan dan mengubah setiap perlawanan yang disertainya.
Sumbangan mereka amat penting.
Italy bertahan dengan gabungan kepahlawanan, kebijaksanaan dan sinis yang kelihatan cukup untuk menyaksikan mereka ke final buat kali pertama sejak 1997.
Italy telah beraksi dengan hebat, memastikan bola diberikan kepada rakan sepasukan atau keluar ke bahagian sayap untuk mengurangkan bahaya.
Namun, mereka menyekat pemain England hingga memaksa pemain England untuk merembat dari jarak jauh.
Strategi Italy memampatkan ruang dan menafikan bola bersudut di belakang pertahanan mereka dengan berkesan, telah menyekat serangan England dan mengehadkan penyerang Alessia Russo kepada beberapa sentuhan di dalam kotak.
Tetapi kemasukan Agyemang dan gabungan kemahiran dan fizikalnya memberi England senjata yang lebih tajam, dan dengan Kelly meluru ke bahagian sayap, England tiba-tiba kembali menjulang harapan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg