Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain S’pura muncul juara di kejohanan golf wanita AS

Penuntut Universiti North Carolina catat rekod pukulan terendah, menang acara perseorangan serta pasukan
Sep 26, 2024 | 2:07 PM
Pemain golf Singapura, Inez Ng, 21 tahun, berjaya meraih kemenangan peringkat kolej iaitu yang pertama buat dirinya di kejohanan golf wanita, Cavalier Regional Preview, di Amerika Syarikat pada 24 September.
Pemain golf Singapura, Inez Ng, 21 tahun, berjaya meraih kemenangan peringkat kolej iaitu yang pertama buat dirinya di kejohanan golf wanita, Cavalier Regional Preview, di Amerika Syarikat pada 24 September. - Foto UNIVERSITY OF VIRGINIA

Pemain golf Singapura, Inez Ng, mempamerkan persembahan cemerlang dalam kerjaya sukannya yang baru berkembang.

beliau berjaya menjuarai pertandingan peringkat kolej iaitu yang pertama buat dirinya di Amerika Syarikat pada 24 September.

Lebih membanggakan, beliau muncul juara dengan mencatat rekod pukulan terendah, selain memenangi kejuaraan pasukan keseluruhan kejohanan golf wanita, Cavalier Regional Preview itu bersama rakan-rakan sepasukannya dari University of North Carolina (UNC) di Amerika Syarikat.

Dalam acara perseorangan, Ng, 21 tahun, mempamerkan prestasi menakjubkan untuk muncul juara dengan kelebihan lapan pukulan.

Dengan mencatat lima birdie dan satu bogey, beliau menamatkan pusingan dengan pukulan empat bawah par 67, untuk memenangi acara 54 lubang itu dengan jumlah pukulan 12 bawah par 201 di Padang Golf Birdwood UNC.

Menurut laman web Olahraga UNC, prestasi Ng semasa pertandingan tersebut menyaksikan beliau mengatasi rekod kejohanan itu dengan tiga pukulan.

Rekod sebelumnya adalah 204 pukulan yang dicatat, Krista Junkkari, dari Finland, di kejohanan golf Cougar Classic pada 2021 dan Kelly Whaley dari Amerika Syarikat, di kejohanan golf Briar’s Creek Invitational pada 2018.

Bercakap kepada The Straits Times, Ng berkata mentalitinya untuk hanya berseronok membantunya untuk menang.

“Saya tidak bermain dengan begitu baik dalam pertandingan sebelum ini (kedudukan ke-51 di pertandingan kolej Folds of Honor).

“Justeru, saya cuba mengubah pemikiran saya untuk berasa lebih seronok bermain sambil bersaing.

“Saya bermain dengan terbaik apabila saya berseronok dan tidak fikirkan tentang keputusannya,” jelas Ng.

Apabila ditanya bagaimana beliau dan rakan-rakan sepasukannya meraikan kemenangan mereka, Ng berkata:

“Pasukan saya mendapat beberapa keping biskut apabila kami pulang. Kami juga akan mengadakan makan malam untuk meraikan kemenangan pasukan.”

Jurulatih UNC, Aimee Neff, berkata di laman web UNC bahawa beliau “amat berbangga dengan pasukannya... walaupun dengan cuaca dan keadaan yang amat mencabar”.

“Inez mempunyai prestasi yang sangat mengagumkan untuk menang dengan lapan pukulan. Beliau begitu mantap, malah menghasilkan dua pukulan birdie daripada tiga lubang terakhirnya untuk mendapatkan pendahuluan yang besar,” tambah beliau.

Kemenangan Ng datang hampir setahun selepas persembahannya yang menarik perhatian di Abu Dhabi, apabila beliau menduduki tempat keempat dalam ranking individu Trofi Espirito Santo dalam Kejohanan Amatur Berpasukan Dunia.

Ng berjaya mencatat pukulan sembilan bawah par 279 dalam pertandingan yang turut disertai lapan daripada 10 pemain terbaik dunia dalam Ranking Golf Amatur Dunia pada Oktober 2023.

Ia merupakan kedudukan terbaik Singapura di acara itu.

Dengan pencapaian terkininya, beliau bukan sahaja mencatat rekod baru, malah bertambah yakin.

“Saya berasa gembira apabila saya menyedari bahawa saya melakukan perkara yang betul dalam latihan dan saya mempunyai keupayaan untuk menang di mana-mana sahaja di dunia,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg