CHENGDU: Pemain remaja China, Shang Juncheng, menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dari Italy, Lorenzo Musetti, 7-6 (7-4), 6-1 dalam final Terbuka Chengdu untuk menjadi pemain kedua dari negara itu untuk memenangi gelaran Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP).
Kemenangan pada 24 September itu memberikan gelaran Jelajah ATP pertama buat Shang, yang merupakan pemain tenis lelaki nombor dua China dan menduduki ranking ke-55 di dunia.
Remaja berusia 19 tahun itu, yang juga bekas pemain nombor satu di peringkat remaja, juga menjadi pemenang termuda ATP musim ini.
Li Na kekal sebagai pemain perseorangan China paling berjaya dengan kemenangan Grand Slam dalam Terbuka Perancis pada 2011 dan Terbuka Australia pada 2014.
Terdapat beberapa pemain wanita lain dari negara itu yang berharap dapat mengikut jejaknya, termasuk naib juara Terbuka Australia dan pemenang pingat emas Olimpik Paris, Zheng Qinwen.
Namun, dari sudut sejarah tenis lelaki, China umumnya tidak meraih banyak kejayaan.
Wu Yibing menjadi pemain China pertama memenangi trofi ATP apabila beliau memenangi Terbuka Dallas pada 2023.
Shang juga telah mengukuhkan peluangnya untuk layak ke pusingan akhir ATP Generasi Seterusnya buat kali pertama.
Pertandingan itu, yang akan berlangsung di Arab Saudi pada November hingga Disember, akan menampilkan pemain perseorangan berusia 20 tahun ke bawah terbaik dunia sepanjang musim Jelajah ATP ini.
Dalam Terbuka Hangzhou, Marin Cilic dari Croatia, mencipta sejarah dengan menjadi juara daripada kedudukan terendah dalam sejarah Jelajah ATP pada 24 September, dengan kejayaan pertamanya dalam pertandingan di peringkat jelajah sejak Februari.
Cilic, yang akan berusia 36 tahun pada 28 September, memenangi gelaran pertamanya sejak 2021 dengan kemenangan 7-6 (7-5) 7-6 (7-5) ke atas pemain nombor satu dan pilihan keenam dari China, Zhang Zhizhen, yang pertama kali beraksi dalam final di peringkat jelajah.
Kejayaan Cilic, yang baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut, melonjakkan ranking bekas pemain nombor tiga dunia itu ke tangga ke-212 daripada 777 dalam senarai ATP.
Dengan Terbuka Hangzhou menggantikan Kejohanan Zhuhai dalam kalendar pertandingan, ia adalah gelaran ke-21 dalam kerjaya Cilic. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg