FLUSHING (Amerika Syarikat): Pemain tenis, Yulia Putintseva, meminta maaf selepas menerima kritikan di media sosial ekoran cara interaksinya dengan seorang gadis pemungut bola dalam pertandingan tenis Terbuka Amerika Syarikat.
Dalam satu catatan di Instagramnya selepas perlawanan pusingan ketiga yang menyaksikan beliau tewas 6-3 6-4 kepada Jasmine Paolini dari Italy pada 31 Ogos lalu, Putintseva berkata beliau tidak berniat mengaibkan sesiapa.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan pemain asal Kazakhstan berusia 29 tahun itu tidak mengendahkan seorang gadis pemungut bola ketika beliau melambung bola ke arahnya dalam perlawanan tersebut.
Video itu dikongsi oleh bekas pemain tenis lelaki nombor satu dunia dan juara Grand Slam enam kali kali, Boris Becker, yang menulis dalam kapsyen: “Putintseva fikir beliau siapa... Ia satu sikap kurang adab terhadap gadis pemungut bola itu!!!”
Putintseva, yang turut memohon maaf pada 1 September, menjelaskan:
“Sungguh menakutkan cara dunia boleh menilai seseorang daripada hanya video tiga saat, yang seseorang muat naik dari satu sisi, tanpa melihat dari sudut pandang lain tentang apa yang benar-benar berlaku.”
“Saya hanya sekadar bermain tenis dan tewas dalam perlawanan yang sukar, yang sangat hampir (pada pendapat saya) untuk mengubah keadaan.
“Pada saat itu, gadis tersebut sedang memberikan saya bola, saya tidak perasan, kerana saya berada jauh dalam fikiran saya... saya tidak berniat memalukannya (atau sesiapa).”
Putintseva, pemain tenis pilihan ke-30 – yang kadang-kadang menghadapi masalah mengawal emosinya semasa bertanding – menambah bahawa beliau akan cuba melakukan “sesuatu yang istimewa” untuk gadis itu untuk menebus kesalahannya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg