Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain wanita England Ellie Kildunne pemain ragbi wanita terbaik dunia 2024

Nov 25, 2024 | 10:04 AM
Ellie Kildunne penjaring percubaan terbanyak  pertandingan Enam Negara musim lalu, apabila England menjuarai Grand Slam dengan mencatat sembilan percubaan dan menggondol anugerah pemain terbaik kejohanan. 
Ellie Kildunne penjaring percubaan terbanyak pertandingan Enam Negara musim lalu, apabila England menjuarai Grand Slam dengan mencatat sembilan percubaan dan menggondol anugerah pemain terbaik kejohanan.  - Foto AFP

MONACO: Pemain pertahanan ragbi wanita England dan kelab Harlequins, Ellie Kildunne, dinobatkan sebagai pemain terbaik wanita Ragbi Dunia 2024.

Pemain berusia 25 tahun itu penjaring percubaan terbanyak semasa pertandingan Enam Negara musim lalu, apabila England menjuarai Grand Slam dengan mencatat sembilan percubaan dan menggondol anugerah pemain terbaik kejohanan.

Gaya serangan Kildunne yang mendebarkan menjadikannya bakat hebat dalam permainan ragbi wanita.

Beliau menjadi pemain England terkini memenangi anugerah itu, menyusuli pemain seperti Marlie Packer (2023), Zoe Aldcroft (2021), Emily Scarratt (2019) dan Sarah Hunter (2016).

Setelah memenangi setiap perlawanan bersama England pada 2024, dan bermain tujuh kali dalam Sukan Olimpik untuk Great Britain, Kildunne berkata beliau mungkin perlu menguji kebolehannya dalam pertandingan 13 pemain sepasukan terbaik di dunia, iaitu Kejohanan Utama Wanita Liga Ragbi Kebangsaan Australia.

“Keutamaan saya ialah kelab Harlequins dan pasukan antarabangsa England dan itu berada dalam fikiran saya pada masa ini.

“Kemudian ada pula pertandingan jelajah pada 2028 serta Piala Dunia tidak lama selepas itu dan satu lagi pusingan Olimpik yang saya ingin sertai.

“Jadi peluang untuk pergi selama setahun ke Australia atau New Zealand menjadi semakin tipis.

“Tetapi ini tidak bermakna saya tidak akan melakukannya. Ragbi membawa anda ke tempat yang berbeza di dunia, yang sangat menarik,” kata Kildunne.

Ketua jurulatih Kildunne, John Mitchell, berkata kepada media: “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ellie bagi musim luar biasa yang dilaluinya serta anugerah yang memang layak beliau terima itu.”

“Ia benar-benar memberi inspirasi apabila melihat salah seorang pemain kami daripada pasukan yang begitu cemerlang (Harlequins) menerima pengiktirafan berprestij ini.

“Saya tahu Ellie akan menjadi orang pertama menghargai sokongan dan dedikasi luar biasa rakan sepasukannya, yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaannya tahun ini.”

Majlis penyampaian anugerah itu berlangsung di Monaco pada 24 November.

Sementara itu pemain sayap Afrika Selatan, Pieter-Steph Du Toit, menjulang gelaran pemain lelaki terbaik bagi kali kedua.

Beliau, yang juga pemain terbaik dunia pada 2019, menjadi pemain keempat mendapat anugerah itu lebih daripada sekali, selepas trio New Zealand Dan Carter, Richie McCaw dan Beauden Barrett.

Kapten Ireland, Caelan Doris, antara calon bagi anugerah itu, bersama rakan sepasukan Du Toit daripada pasukan Springboks, Cheslin Kolbe dan Eben Etzebeth.

Erin King, penyerang Ireland, memenangi anugerah pemain cemerlang wanita hanya dua bulan selepas membuat penampilan sulung dalam Ujian 15 sepasukan.

King, 21 tahun, juga merupakan anggota skuad tujuh pemain pasukan Ireland yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Paris. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg