LONDON - Pemain tengah West Ham United, Lucas Paqueta, menangis kerana kecewa selepas menerima kad kuning semasa pasukannya seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur (Spurs) dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) pada 4 Mei, kata pengurus West Ham, Graham Potter.
Paqueta, yang menghadapi ketidakpastian mengenai masa depan kerjayanya selepas disiasat atas pelanggaran peraturan pertaruhan, kelihatan kecewa dan mengesat air matanya, selepas beliau dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada separuh masa kedua kerana melakukan kekasaran terhadap pemain Spurs, Mikey Moore.
Pemain antarabangsa Brazil itu mempertikaikan keputusan tersebut, membantah dengan tangannya, sebelum kamera televisyen merakamkan detik beliau mengesat air matanya.
Pengadil Michael Oliver memberi amaran kepadanya tentang kelakuannya, manakala beberapa rakan sepasukan cuba menenangkan beliau.
Paqueta, 27 tahun, sedang menunggu keputusan perbicaraan oleh Persatuan Bola Sepak England, berhubung beberapa tuduhan sengaja mendapatkan kad kuning dalam perlawanan.
Beliau berdepan kemungkinan digantung seumur hidup, jika didapati bersalah kerana sengaja mendapatkan empat kad kuning dalam beberapa perlawanan Liga Perdana bagi tujuan pertaruhan.
Beliau menafikan semua tuduhan tersebut.
“Saya rasa beliau hanyalah seorang pemain yang cuba melakukan yang terbaik, dan mahu keadaan menjadi lebih baik, jadi beliau mungkin agak kecewa dengan tindakan (pengadil) itu,” kata Potter.
“Ketika itu, anda melihat seorang insan yang tidak sempurna, tetapi saya suka Lucas. Beliau telah memberikan segalanya walaupun dalam keadaan sukar. Beliau sudah memberikan segalanya dan kini beliau sudah agak baik.”
Paqueta kini berdepan satu penantian yang mengecewakan kerana kes tersebut dijangka tidak akan selesai sehingga Jun, paling awal.
Satu panel bebas yang mengendalikan perbicaraan kes tersebut tidak menamatkan prosiding tersebut pada Mac disebabkan kerumitan kes itu, dan menangguhkannya ke tarikh lain. – REUTERS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg