SAO PAULO: Juara dunia tiga kali Formula Satu (F1), Max Verstappen, meneruskan rentak kemenangan yang ke-17 pada musim ini setelah menjuarai Grand Prix Sao Paulo pada Ahad.
Pemandu Red Bull asal Belanda itu bermula di petak pertama selepas perlumbaan itu dimulakan semula menyusuli perlanggaran Kevin Magnussen (Haas), Alex Albon (Williams), Oscar Piastri (McLaren) dan Daniel Ricciardo (AlphaTauri).
Verstappen kekal berada di hadapan sehingga melewati garisan penamat selepas 71 pusingan dengan masa 1 jam 56 minit 48.894 saat.
Lando Norris (McLaren) menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Fernando Alonso (Aston Martin) meraih tempat ketiga.
Ketua Red Bull, Christian Horner, berkata kepada Verstappen melalui radio selepas beliau melewati garisan penamat, berkata: “Syabas Max, prestasi yang sangat klinikal sekali lagi.”
Verstappen berkata permulaan perlumbaan adalah detik yang sangat penting kerana dengan permulaan baik, baki perlumbaan adalah sekadar pengurusan tayar.
Di sebalik kemenangan beliau, Alonso menjadi antara sebutan semasa perlumbaan kerana pertarungan sengit bagi memintas Sergio Perez (Red Bull) pada babak-babak akhir perlumbaan untuk tempat ketiga.
“Ini keputusan memberangsangkan untuk pasukan. Kami melalui masa yang sukar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya dua perlumbaan sebelum ini kerana kami tidak dapat menamatkan perlumbaan,” jelas Alonso.
Lance Stroll menduduki tangga kelima diikuti Carlos Sainz (Ferrari), Pierre Gasly (Alpine) dan Lewis Hamilton (Mercedes). – Reuters.
“
“Syabas Max, prestasi yang sangat klinikal sekali lagi.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg