SAN DIEGO: Alex Morgan, yang memenangi dua Piala Dunia Wanita dan pingat emas Olimpik bersama Amerika Syarikat, telah mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional.
Morgan, 35 tahun, yang mengesahkan keputusannya untuk bersara dalam video yang dimuat naik ke media sosial pada 5 September, juga berkata beliau sedang mengandung anak keduanya.
Penyerang itu, yang merupakan salah seorang pemain wanita paling terkenal di dunia dan penjaring gol paling banyak dalam sejarah nasional wanita Amerika, akan bermain dalam perlawanan profesional terakhirnya pada 8 September apabila pasukan kelabnya, San Diego Wave, menentang North Carolina Courage.
Pada 2022, beliau adalah sebahagian daripada pemain profesional wanita di Amerika yang berjaya memperoleh perjanjian gaji sama rata selepas memfailkan tuntutan mahkamah.
Morgan berkata beliau “bangga” telah memainkan peranan dalam meninggalkan impak pada permainan bagi generasi pemain bola sepak wanita akan datang.
“Ia sudah lama saya rasakan dan keputusan ini (bersara) tidak mudah,” kata Morgan dalam video itu.
“Tetapi pada awal 2024 saya berasa dalam hati dan jiwa saya bahawa ini akan menjadi musim terakhir saya bermain bola sepak,” tambah beliau.
Morgan melahirkan anak perempuannya, Charlie, pada Mei 2020 dan menyertai pasukan Liga Super Wanita Tottenham pada akhir tahun itu, walaupun beliau hanya bermain empat perlawanan di London sebelum pulang ke Amerika.
Beliau menjulang Piala Dunia 2015 dan 2019 bersama negaranya, memenangi pingat emas di Sukan Olimpik London 2012 dan gangsa di Tokyo 2020.
Morgan berkata beliau “sangat jelas” pada dirinya bahawa keputusan bersara adalah langkah yang tepat.
“Bola sepak telah menjadi sebahagian daripada diri saya selama 30 tahun.
“Saya memberikan segalanya untuk sukan ini dan apa yang saya dapat sebagai balasan lebih daripada yang saya impikan,” ujar beliau dalam video tersebut.
Bekas pemain pertahanan England, Casey Stoney, yang merupakan pengurus Morgan di The Wave sebelum beliau dipecat pada Jun, berkata menerusi catatan di X:
“Atlet paling profesional yang pernah saya temui. Anda mendorong semua orang di sekeliling anda untuk menjadi lebih baik dan mencabar status quo setiap hari. Terima kasih atas segala yang anda berikan pada sukan ini.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg