Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

JIU-JITSU

Penantian 6 tahun berakhir... Amirul dipilih wakili S'pura ke Sukan SEA

Apr 22, 2023 | 05:30 AM



ENAM tahun adalah penantian yang lama.



Bagaimanapun, bak kata pujangga, jik asudah rezeki, rezeki tidak akan ke mana-mana dan impian atlet jiu-jitsu Singapura Amirul Syafiq Shah Eran untuk mewakili negara dalam temasya sukan utama akhirnya tercapai.



Amirul, 30 tahun, bakal membuat penampilan pertamanya dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei.



Beliau akan bersaing dalam kategori GI bawah 62 kilogram lelaki.



Jiu-jitsu adalah sejenis seni pertahanan diri asal Jepun, dengan hanya menggunakan berat badan dan kekuatan musuh itu sendiri untuk menundukkannya.



Ia berdasarkan teknik 'grappling', atau tindakan menjatuhkan lawan lalu menguncinya bagi mengawal pergerakannya, dan 'ground fighting', atau gerakan bawah.



"Ini adalah salah satu matlamat saya dalam jiu-jitsu. Setiap kali saya cuba untuk menyertai pasukan nasional, ada saja berlaku dan saya terlepas peluang itu setiap tahun. Ia adalah enam tahun yang amat sukar," kata Amirul, seorang jurulatih jiu-jitsu dan pegawai operasi di gimnasium Carpe Diem Brazilian Jiu-jitsu.



Urusan kerja menjadi penyebab beliau terlepas menjalani percubaan bagi pasukan jiu-jitsu nasional, kongsi beliau.



"Tahun ini, akhirnya saya dipilih. Saya rasa sangat lega dan gembira. Saya menyasar untuk melakukan yang sebaik mungkin," tambah bapa baru itu.



Penyertaan Amirul dalam Sukan SEA mungkin juga rezeki cahaya mata sulungnya, Aariz Rafael, yang baru lahir pada 8 April.



Amirul sudah bergiat dalam jiu-jitsu lebih sedekad lalu sejak 2010.



Pendedahannya kepada sukan itu berlaku secara kebetulan.



"Saya diperkenalkan kepada jiu-jitsu kerana saya lambat untuk kelas tinju," imbas Amirul. "Gim yang saya kunjungi ketika itu menawarkan kelas jiu-jitsu dan selepas melihat beberapa lelaki 'berpelukan' secara agresif di atas tikar, ia membuat saya benar-benar tertarik," katanya lagi.



Beliau kemudian pulang ke rumah dan menonton beberapa video jiu-jitsu di YouTube, dan mencuba teknik sukan itu pada adik lelakinya.



Keesokan harinya, beliau menyertai kelas jiu-jitsu dan sejak itu, terlekat pada sukan tersebut.



"Buat saya, sukan ini lain daripada lain," tambah pemenang pingat perak dalam acara bawah 62 kilogram lelaki di Kejohanan Asia 2022 itu.



Bagaimanapun, perjalanannya menjelang Sukan SEA tidak selancar yang diharapkan.



Pada lewat Mac, Amirul mengalami kecederaan apabila rusuknya koyak semasa latihan.



Ini bermakna beliau terpaksa berehat dan terlepas berlatih selama sekitar dua minggu.



Meskipun itu, di Phnom Penh, Kemboja, Amirul kekal tekad untuk mengharumkan nama negara dan membawa pulang sebutir pingat.



"Pastinya ia bagus untuk menang emas. Itu sentiasa menjadi sasaran saya dalam mana-mana pertandingan. Saya tidak mahu meletakkan tekanan pada diri sendiri. Tetapi, saya akan cuba sedaya upaya," tambah beliau.



Selain Amirul, pasukan jiu-jitsu Singapura turut diwakili tiga lagi atlet dalam lima acara.



Mereka ialah Tang Yong Siang (NO GI bawah 56 kilogram lelaki); Noah Lim (GI dan NO GI bawah 69 kilogram lelaki); dan Teh May Yong (GI dan NO GI bawah 52 kilogram wanita).



Dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi, yang ditunda ke Mei 2022, Singapura menggondol tiga pingat - satu emas, satu perak dan satu gangsa.



Jiu-jitsu kali pertama disertakan dalam Sukan SEA dalam edisi 2019 di Manila, Filipina.



Ia akan ditampilkan dalam temasya sukan dwitahunan itu buat hanya kali ketiga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >