Pendayung Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee, berjaya melangkah ke final E acara scull tunggal wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 setelah menduduki tempat kedua daripada empat pesaing dalam pusingan separuh akhir E/F pada 29 Julai.
Pendayung berusia 36 tahun itu mencatat masa 8 minit 47.41 saat dan menamatkan perlumbaan di Stadium Nautika Vaires-sur-Marne di belakang pendayung Cuba, Yariulvis Cobas (8:36.16), dan di depan pendayung Kuwait, Soaad Alfaqaan (9:01.78), serta pendayung Togo, Akoko Komlanvi (9:16.28).
Hanya tiga pendayung terbaik layak ke final E, yang akan diadakan pada 2 Ogos.
Tidak ada pingat akan diberikan dalam Final E, namun keputusan dalam pusingan itu akan menentukan kedudukan keseluruhan Aisyah dalam temasya di Paris itu. Terdapat enam final, A hingga F, dalam acara scull tunggal wanita.
Aisyah pernah beraksi di Rio 2016, iaitu penampilan sulungnya di Sukan Olimpik, dan mendapat tempat ke-23 daripada 32 pesaing.
Dalam pada itu, pasukan beregu campuran badminton Singapura, Terry Hee dan Jessica Tan, menamatkan kempen Sukan Olimpik mereka secara positif setelah menewaskan pemain Amerika Syarikat, Vinson Chiu dan Jennie Gai, pada 29 Julai.
Di Arena Porte de La Chapelle, pasangan suami isteri itu, yang menduduki ranking nombor 17 dunia, mencatat kemenangan 21-17, 21-12 menentang pasangan warga Amerika yang menduduki ranking ke-30
Ini bermakna muka baru dalam Sukan Olimpik itu menduduki tempat ketiga daripada empat pasukan dalam kumpulan mereka.
Hanya dua pasukan teratas daripada setiap daripada empat kumpulan layak ke pusingan seterusnya.
Kededua pasukan telah disingkirkan daripada pertandingan beregu campuran sebelum pertembungan ini.
Hee dan Tan telah kalah kepada pasangan nombor sembilan dunia dari Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, dan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yanzhe dan Huang Dongping, yang masing-masing meraih tempat pertama dan kedua dalam kumpulan.
Pemain badminton terkemuka Singapura, Loh Kean Yew, pula menikmati permulaan yang agak selesa dalam kempennya di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menang 21-13, 21-10 ke atas pemain Republik Czech, Jan Louda, dalam Kumpulan M pada 28 Julai.
Loh, pemain nombor 13 dunia, seterusnya akan menentang pemain ranking ke-50 dari El Salvador, Uriel Canjura pada 31 Julai dan kemenangan akan mengesahkan penampilan pertamanya dalam pusingan kalah mati Sukan Olimpik, yang mana beliau berkemungkinan akan menentang pemain nombor 6 dunia dari China, Li Shifeng dalam pusingan 16 pemain terakhir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg