Masa kian suntuk untuk pasukan bola sepak Bawah 23 Tahun Singapura, yang perlu memperbaiki pelbagai aspek permainan.
Berbaki tiga bulan sebelum pembukaan Sukan SEA 2025 pada Disember, persoalan itu kian bermain dalam benak fikiran peminat di sini.
Adakah mereka mempunyai cukup masa untuk mengubah haluan sebelum wisel perlawanan bola sepak Sukan SEA pertama ditiup?
Ini terutama sekali selepas anak didik Firdaus Kassim pulang daripada Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun dengan menduduki tangga corot Kumpulan C – tewas kesemua perlawanan, menjaringkan hanya dua gol manakala gawang sendiri dibolosi tujuh kali.
Singa Muda menutup tirai kempen itu dengan kekalahan 1-4 di tangan Bangladesh, yang turut menyaksikan pasukan tersebut menjaringkan empat gol dalam masa 12 minit di Stadium Viet Tri, Phu Tho, Vietnam, pada 9 September.
Menjelang Sukan SEA yang akan bermula pada 3 Disember, Firdaus berkata tumpuannya kini adalah menukar strategi penguasaan permainan kepada jaringan gol.
Ini kerana anak didiknya gagal menyempurnakan banyak peluang walaupun menguasai beberapa tempoh perlawanan dalam kelayakan Piala Asia.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau berkata:
“Cabarannya adalah mencari keseimbangan yang tepat; mengambil risiko untuk menguasai permainan, sambil kekal tersusun dari segi pertahanan apabila perlu.
“Dan yang paling penting, kita perlu melakukannya dengan lebih konsisten sepanjang 90 minit. Itulah kunci dalam dua bulan akan datang ketika kami mempersiapkan pasukan.”
Singa Muda melalui kelayakan yang ingin dilupakan apabila mengalami tiga kekalahan – 1-2 di tangan Yemen, 0-1 kepada Vietnam dan 1-4 di tangan Bangladesh.
Namun, Firdaus berkata sepanjang kelayakan itu, beliau dapat menyaksikan detik positif daripada anak didiknya.
“Melihat keseluruhan kelayakan, terdapat beberapa detik positif – seperti organisasi pertahanan kami menentang Vietnam, dan cara kami menguasai bola semasa menentang Bangladesh.
“Tetapi dalam bola sepak, persembahan yang baik sahaja tidak cukup jika kami gagal memanfaatkan peluang jaringan,” ujarnya.
Dalam perlawanan pertama menentang Yemen pada 3 September, pasukan Arab itu menguasai sebahagian besar perlawanan walau terdapat beberapa bayang sinar daripada Singa Muda yang cuba mengawal permainan dalam separuh masa kedua.
Singa Muda kemudian menerapkan permainan yang lebih defensif ketika tewas 0-1 kepada Vietnam, yang melakukan serangan bertubi-tubi sejak awal permainan.
Menurut laman web statistik bola sepak Sofascore berbanding menentang Yemen di mana Singapura mempunyai penguasaan bola sebanyak 45 peratus, angka itu merosot dengan ketara ketika menentang Vietnam dengan hanya memiliki 27 peratus penguasaan bola.
Dalam perlawanan terakhir menentang Bangladesh pula, Singa Muda berjaya mengawal permainan, terutama dalam babak pertama namun gagal menyempurnakan tiga peluang keemasan melalui Louka Tan-Vaissiere, Andrew Aw dan Kian Jared Ghadessy.
Bangladesh bangkit lebih garang dalam separuh masa kedua dan hanya memerlukan 12 minit untuk mematahkan harapan Singa.
Fahamedul Islam membuka tirai pesta gol pada minit ke-70 melalui rembatan melencong dari luar kotak penalti.
Kelalaian di bahagian pertahanan membolehkan Bangladesh menggandakan jaringan melalui serangan balas pada minit ke-72, apabila Al-Amin memecut menewaskan pertahanan Singapura untuk gol kedua.
Ahmed Mohsin kemudian menyempurnakan hantaran jauh untuk jaringan ketiga mereka pada minit ke-80, sebelum Shekh Morsalin membawa bola dari bulatan tengah untuk melengkapkan jaringan pada minit ke-82.
Gol tunggal Singa Muda dijaringkan Khairin Nadim pada waktu kecederaan selepas memanfaatkan kekeliruan di barisan pertahanan Bangladesh.
“Kami kecewa dengan keputusan itu, terutamanya kerana kami menguasai bola dan mencipta banyak peluang dalam 65 minit pertama permainan.
“Tetapi di peringkat ini, jika anda gagal menyempurnakan peluang ketika menguasai permainan, pihak lawan akan menghukum anda – dan itulah yang dilakukan oleh Bangladesh, yang sangat berbahaya semasa melancarkan serangan balas,” kata Firdaus.
Selain daripada Sukan SEA, pasukan bawah 23 tahun akan meneruskan saingan Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26.
Young Lions akan membuka tirai liga menentang Balestier Khalsa pada 21 September ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg