Topik diikuti
Pergi ke BHkuRonaldo bantu Al-Nassr menang susuli gangguan keselamatan
Perlawanan menentang Neftchi Fergana di Riyadh pada awalnya ditangguh sejam
Ronaldo bantu Al-Nassr menang susuli gangguan keselamatan
RIYADH: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kedua kelab Al-Nassr ketika juara Liga Pro Saudi itu menewaskan Neftchi Fergana dari Uzbekistan 3-1 dalam Liga Juara-Juara AFC Elite pada 12 Oktober, selepas perlawanan tertangguh sejam atas sebab keselamatan.
Perlawanan itu tertangguh susulan Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan 15 minit sebelum waktu perlawanan yang dijadualkan di Riyadh.
Bandar itu disasarkan peluru berpandu yang dilancarkan pihak Houthi dari Yaman sejak beberapa hari lalu.
Namun pasukan Ange Postecoglou itu tidak terjejas oleh gangguan tersebut.
Mereka mendahului menerusi Angelo pada minit ke-33 melalui satu rembatan kuat, sebelum Ronaldo menggandakan jaringan sembilan minit kemudian.
Pemain berusia 41 tahun itu menjaringkan gol selepas Sadio Mane menghantar bola dari sebelah kiri.
Aiman Yahya menahan bola dengan dada ke arah Ronaldo yang kemudian melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang.
Alisher Odilov merapatkan jurang gol bagi kelab Neftchi enam minit selepas separuh masa kedua bermula.
Namun, pemain Neftchi, Ikromjon Alibaev pula kemudian dilayangkan kad merah kerana menolak Mohamed Simakan pada minit ke-65.
Kira-kira 13 minit kemudian, Anvarjon Gofurov menjaringkan gol di gawang sendiri, sekali gus memastikan kemenangan Al-Nassr.
Sementara itu, juara bertahan Al-Ahli menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk meraih kemenangan pertama pada musim baharu, apabila pasukan kendalian Marino Pusic menewaskan pasukan Al-Wasl dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) 3-1.
Roger Ibanez meletakkan Al-Ahli di hadapan menerusi tandukan pada minit ke-20, namun Pedro Malheiro menyamakan kedudukan pada minit ketiga masa tambahan separuh masa pertama.
Trincao menjaringkan gol pada minit ke-58 dan Feras Al-Brikan pada minit ke-91, membolehkan Al-Ahli mengumpul empat mata daripada dua perlawanan pertama.
“Kami turut cipta peluang pada separuh masa pertama, tetapi pada separuh masa kedua kami menjaringkan gol dan saya rasa itulah perbezaannya,” kata Trincao.
“Dari segi fizikal, kami lebih baik sedikit dan itulah kunci untuk mengubah perlawanan,” tambahnya.
Sementara itu, Houssine Rahimi menjaringkan dua gol sedang kelab Al-Ain menewaskan Air Force Club 4-1 di Basra, manakala gol Hossein Goudarzi pada minit ke-60 memberi kelab Esteghlal dari Iran kemenangan 2-1 ke atas Al-Gharafa.
Penalti pada saat akhir daripada Dostonbek Khamdamov menyelamatkan pasukan Pakhtakor dengan keputusan seri 1-1 menentang Al-Qadsiah pimpinan Brendan Rodgers di Tashkent.
Pasukan Tractor dari Iran pula diikat seri tanpa jaringan oleh kelab Al-Shamal dari Qatar.
Lapan pasukan teratas dalam fasa liga 16 pasukan, dari zon timur dan barat Asia, akan mara ke pusingan kalah mati seterusnya. – Reuters.