Selama bertahun-tahun bergelar jurulatih penjaga gol, Mohamed Hyrulnizam Juma’at mengakui setiap sesi latihan yang dirancang bermula dengan satu persoalan utama: “Apakah yang ingin saya ajarkan hari ini?”

Namun, pengalaman selama enam bulan di Austria telah mengubah sepenuhnya perspektifnya terhadap peranan seorang jurulatih.

Kini, persoalan itu telah bertukar dan berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih penting: “Apakah yang sebenarnya diperlukan penjaga gol ini?”

Falsafah baharu itu menjadi antara pengajaran paling bermakna yang dibawa pulang bekas penjaga gol kebangsaan itu selepas menamatkan program Penempatan Jurulatih di Luar Negara (COA) selama enam bulan bersama kelab divisyen dua Austria, SKN St. Pölten.

Beliau mengakui teruja apabila dipilih, namun pada masa sama sedikit bimbang memandangkan terpaksa meninggalkan isterinya bersama dua anak mereka yang berusia sembilan dan 10 tahun.

“Memang mencabar buat isteri saya sepanjang enam bulan ini. Namun, mereka sangat menyokong dan menggalakkan saya pergi mengejar impian kerana enam bulan itu akan berlalu dengan pantas.

“Perbezaan waktu juga satu cabaran. Apabila saya bangun, mereka baru pulang dari sekolah. Jadi setiap hari, kami akan buat panggilan video sebaik saya bangun tidur atau selepas selesai latihan sebelum mereka masuk tidur,” katanya.

Sebagai jurulatih penjaga gol pertama yang dipilih menyertai program tersebut di bawah inisiatif Unleash The Roar! (UTR!), Hyrulnizam berkata beliau pada awalnya menjangkakan didedahkan kepada kaedah latihan yang lebih kompleks dan moden.

Namun, pendedahan terbesar yang diperoleh bukanlah mengenai kesukaran atau kecanggihan latihan, sebaliknya tahap perhatian secara individu yang diberikan kepada setiap pemain.

“Mereka buat latihan yang sangat ringkas. Mereka fokus kepada satu kemahiran sahaja sehingga penjaga gol benar-benar menguasainya sebelum beralih kepada perkara lain.

“Bagi pemain muda, mereka tak mahu terlalu banyak maklumat dalam satu sesi,” cerita Hyrulnizam.

Beliau turut kagum dengan perhatian yang diberikan kepada setiap pemain.

Di kelab SKN St. Pölten, seorang jurulatih hanya mengendalikan tiga atau empat penjaga gol pada satu-satu masa, sekali gus membolehkan hubungan yang lebih rapat dibina.

“Mereka banyak berbual dengan pemain. Mereka tanya apa yang pemain rasa tentang latihan, apa yang sukar dan bagaimana jurulatih boleh membantu.

“Hubungan antara jurulatih dengan pemain memang sangat kuat,” tambahnya.

Pendekatan itu kini diterapkannya bersama penjaga gol muda di Singapura.

“Saya mahu lebih mengenali setiap penjaga gol. Bukan semua mempunyai kekuatan dan kelemahan yang sama.

“Kalau kita benar-benar memahami mereka, latihan yang kita berikan juga akan menjadi lebih berkesan,” katanya.

Hyrulnizam percaya pendekatan lebih bersifat individu itu penting jika Singapura mahu melahirkan lebih ramai penjaga gol bermutu.

Menurutnya, cabaran terbesar ketika ini bukan kekurangan bakat, tetapi kekurangan peluang untuk bermain secara konsisten.

“Ramai penjaga gol muda tersekat selepas peringkat belia. Mereka masuk ke SPL2 ataupun ke SPL, tetapi untuk menembusi pasukan utama sangat sukar kerana hanya seorang penjaga gol boleh bermain.

“Apabila kelab juga menggunakan penjaga gol import, peluang mereka menjadi semakin berkurangan,” ujarnya.

Beliau menambah, tanpa minit permainan yang mencukupi, sukar untuk seseorang penjaga gol membina konsistensi.

“Kita mahu cari penjaga gol seperti Izwan Mahbud atau Syazwan Buhari yang seterusnya.

“Tetapi untuk mencapai tahap itu, mereka perlu bermain dengan kerap. Barulah keyakinan dan konsistensi dapat dibentuk,” kata beliau.

Bagi Hyrulnizam, pengiktirafan sebagai jurulatih penjaga gol pertama menerima COA bukan sekadar satu penghormatan peribadi.

Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai peluang untuk berkongsi ilmu dengan komuniti jurulatih di rantau ini.

“Saya mahu berkongsi apa yang saya pelajari dengan jurulatih penjaga gol di Singapura, malah di Malaysia dan Indonesia.

“Kalau ada perkara yang sesuai dengan konteks kita di Asia Tenggara, saya rasa kita patut sama-sama manfaatkannya,” ujarnya.