Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman latihan di Jepun perkukuh keyakinan Ogura

Ia sebahagian persiapan jelang Piala Asean Mitsubishi Electric pada 8 Dis hingga 25 Jan
Nov 4, 2024 | 5:40 PM
Pasukan Singapura akan bertanding dalam Piala Asean Mitsubishi Electric (ME) yang akan berlangsung pada 8 Disember hingga 25 Januari. Selepas lawatan latihan ke Jepun, ketua jurulatih Singapura, yakin pada komitmen yang ditunjukkan oleh pasukannya.
Pasukan Singapura akan bertanding dalam Piala Asean Mitsubishi Electric (ME) yang akan berlangsung pada 8 Disember hingga 25 Januari. Selepas lawatan latihan ke Jepun, ketua jurulatih Singapura, yakin pada komitmen yang ditunjukkan oleh pasukannya. - Foto FAS

Banyak yang dapat dipelajari daripada kekalahan dan kesilapan.

Bagi pasukan bola sepak Singapura, banyak yang mereka telah pelajari hasil daripada latihan pusat di Jepun – tempat mereka menjalani latihan pada Oktober.

Latihan itu adalah sebahagian daripada persiapan menjelang Piala Asean Mitsubishi Electric (ME) yang akan berlangsung pada 8 Disember hingga 25 Januari.

“Kami semakin dekat untuk bermain gaya bola sepak yang saya inginkan daripada pasukan.

“Masih banyak yang perlu dilakukan tetapi saya yakin bahawa kami semua sedang menuju ke arah yang sama,” kongsi ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura.

“Pemain semua komited sepenuhnya terhadap matlamat kami, perkara ini jelas dilihat semasa lawatan latihan di Jepun,” tambah beliau.

Semasa lawatan latihan ke Jepun, pasukan Singapura menentang tiga pasukan daripada divisyen teratas liga Jepun (J1), liga yang dianggap sebagai antara liga terbaik dalam Asia.

Mereka berdepan dengan FC Tokyo, yang menyaksikan mereka kalah 4-0 pada 7 Oktober; bersama Tokyo Verdy, di mana mereka menang 2-1 pada 11 Oktober; dan Yokohama F. Marinos di mana mereka kalah teruk 7-1 pada 14 Oktober.

Jadual itu bertujuan menjadi simulasi keadaan dan keletihan yang akan mereka hadapi bermain empat perlawanan kumpulan dalam tempoh 13 hari dalam Piala Asean ME.

Semasa lawatan latihan tersebut, Ogura menekankan bahawa pengalaman itu penting bukan sahaja untuk pemain yang lebih pengalaman malah bagi pemain muda Singapura juga.

“Ia sangat bermanfaat bagi mereka (pemain muda), kerana mereka masih mempunyai masa untuk berubah dan memperbaiki diri dalam jangka masa panjang,” jelas Ogura selepas perlawanan menentang Yokohama E. Marinos.

Ogura memasukkan pasukan pemain muda yang mempunyai purata umur hanya 23.5 tahun untuk berdepan dengan pasukan Jepun yang berpengalaman itu.

“Apa yang mereka alami adalah tahap tinggi yang kami patut cuba untuk capai.

“Kami perlu memupuk tabiat yang baik untuk mencapainya. Bola sepak Jepun tidak sebaik ini 30 tahun lalu, kami capai tahap ini selangkah demi selangkah, jadi Singapura juga boleh mencuba,” tambah beliau.

Namun persiapan Singapura untuk Piala Asean ME belum berakhir.

Singapura akan berdepan dengan Myanmar dan Chinese Taipei di Stadium Negara untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada 14 dan 18 November.

Kempen Piala Asean Singapura akan bermula pada 11 Disember di Stadium Negara di mana mereka akan menentang Kemboja.

Mereka juga akan berhadapan juara bertahan, Thailand pada 17 Disember di stadium sendiri.

Singapura diletakkan dalam Kumpulan A yang merangkumi pasukan Kemboja, Malaysia, Thailand dan Timur Leste.

Jika Singapura berjaya untuk mara ke pusingan separuh akhir dan akhir, mereka akan bermain di lokasi yang berlainan.

Kali terakhir Singapura berjaya untuk ke peringkat akhir kejohanan itu adalah pada 2012. Mereka mengalahkan Thailand di peringkat akhir 3-2 secara agregat untuk merangkul trofi tersebut.

Ogura dan pasukan bimbingannya mengalu-alukan sokongan rakyat Singapura dalam perjuangan kejayaan mereka semasa Piala Asean ME.

“Saya harap penyokong Singapura akan terus memberi sokongan – sesuatu yang kami terima untuk pasukan kebangsaan baru-baru ini. Sebabnya tenaga daripada penyokong akan meningkatkan semangat kami untuk berjaya dalam Piala ME,” ujar Ogura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg