Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

‘Pengalaman ngeri, mengejutkan dan membuka mata lawan Korea Utara’

Oct 06, 2023 | 04:44 PM



Pengalaman pasukan bola sepak wanita Singapura menentang Korea Utara dalam penampilan sulung pasukan negara itu di Sukan Asia baru-baru ini disifatkan oleh penyerang negara, Farhanah Ruhaizat, sebagai “mengerikan dan mengejutkan” namun berupaya “membuka mata”.

Bahkan, beliau menambah prestasi negara, yang secara keseluruhan dibolosi 17 gol daripada dua perlawanan, menunjukkan jurang ketara antara bola sepak wanita Singapura dengan pasukan Asia lain.

Beliau menggesa kelab tempatan tanah air agar dapat membantu meningkatkan usaha dalam mengasah kemahiran pemain setempat sebelum mereka bersaing di arena antarabangsa.

Singapura berdepan Korea Utara, pasukan yang menduduki tangga ke-10 dunia pada 2022, dua kali dalam saingan Kumpulan C mereka di Stadium Pusat Sukan Wenzhou.

Mereka tewas 0-7 kepada Korea Utara dalam perlawanan pertama pada 24 September, sebelum tunduk 0-10 di tangan seteru sama tiga hari kemudian.

Kumpulan tersebut hanya dianggotai dua pasukan selepas Kemboja, yang asalnya dijadual bersaing, menarik diri.

Farhanah, 25 tahun, memberitahu Berita Harian (BH):


“Sejujurnya, ia menakutkan untuk menentang pasukan yang kami tidak mengetahui apa-apa tentang mereka. Apa yang kami tahu mereka adalah 10 pasukan terbaik dunia,”

Sukan Asia Hangzhou ialah temasya sukan antarabangsa pertama yang disertai Korea Utara sejak edisi 2018 di Jakarta.

Korea Utara telah digantung daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sehingga akhir 2022, terlepas beraksi dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada 2022, selepas gagal menghantar pasukan ke Sukan Olimpik Musim Panas di Tokyo.

“Saya boleh katakan perlawanan itu juga mengejutkan kami. Tetapi, pada masa yang sama, semua 11 pemain yang di atas padang sangat berani untuk menentang pasukan di tangga 10 terbaik dunia.

“Pengalaman ini bagus dan benar-benar membuka mata. Kami banyak belajar daripada mereka,” tambah Farhanah, yang sudah 38 kali menyarung jersi Singa.

Walaupun skuad Singa wanita, yang kini menduduki ranking ke-130 dunia, berjaya mencatat keputusan terbaik mereka menentang Korea Utara, kekalahan di Sukan Asia itu tidak lari daripada kecaman teruk oleh penyokong Singapura.

Singapura pernah dibelasah 0-24 oleh juara Piala Asia tiga kali itu dalam satu perlawanan pada 2001.

“Untuk mengatakan kami teruk dengan hanya menonton perlawanan Singapura dan Korea Utara tidak menggambarkan betapa kuat pasukan mereka.

“Mereka bermain dengan gaya sama menentang kami apabila menang ke atas Korea Selatan, yang bersaing dalam Piala Dunia Fifa pada Mei. 

“Jadi, kekalahan 0-7 adalah keputusan yang bagus buat kami… Pada akhirnya, ia bukan tentang keputusan sahaja tetapi juga prestasi kami dalam perlawanan,” jelas Farhanah.

Pencapaian Korea Utara termasuk menjadi finalis suku akhir Piala Dunia Fifa 2007 dan dua penampilan di Sukan Olimpik.

Pada Jumaat malam, mereka berdepan Jepun dalam final Sukan Asia Hangzhou.

Sebelum menempah tiket ke final, Korea Utara telah membuktikan mereka adalah pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan. Mereka mengalahkan Korea Selatan 4-1 dalam suku akhir sebelum menang besar 8-0 ke atas Uzbekistan pada separuh akhir.

Sementara itu, 11 daripada 17 gol yang dibolos Singapura ketika lawan Korea Utara adalah menerusi tandukan, iaitu jumlah yang membimbangkan.

Farhanah berpendapat perubahan kecil untuk memberi tumpuan pada aspek fizikal dan teknik menanduk, antara lain, harus dilaksanakan dalam latihan kelab-kelab tempatan.

Ini akan dapat memberi manfaat kepada pasukan nasional pada masa akan datang apabila berdepan lawan sukar dalam pertandingan antarabangsa.

“Berlatih dua kali seminggu bersama pasukan nasional sahaja tidak akan banyak membantu… Jadi, sebagai masyarakat bola sepak, kededuanya (pasukan nasional dan kelab) harus memainkan peranan untuk meningkatkan kemampuan setiap pemain dalam aspek tertentu bola sepak ini,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >