SAO PAULO (Brazil): Pengerusi Ferrari, John Elkann, berkata pemandu Formula Satu (F1) kereta itu, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc, “perlu beri tumpuan kepada pemanduan dan kurangkan bercakap”.
Kenyataan Elkann itu dibuat menyusuli perlumbaan Grand Prix (GP) Sao Paulo pada 9 November, dengan kedua-dua kereta Ferrari gagal menamatkan perlumbaan – satu keadaan yang dikenali dalam F1 sebagai ‘double retirement’.
Ini merupakan senario paling buruk bagi sesebuah pasukan kerana ia menyebabkan mereka gagal memperoleh sebarang mata untuk kejuaraan pengeluar.
Dalam mengulas perlumbaan itu, Hamilton menggambarkan musim pertamanya bersama pasukan tersebut sebagai satu “mimpi ngeri”.
Ferrari jatuh ke tangga keempat dalam kejuaraan pengeluar menyusuli perlumbaan di Brazil itu.
Mereka kini ketinggalan 36 mata di belakang Mercedes dan empat mata di belakang Red Bull, dengan baki tiga GP dan satu perlumbaan pecut.
Mekanik dan jurutera pasukan itu menampilkan prestasi cemerlang, tetapi “jika kita lihat pada aspek lain, ia tidak mencapai tahap sepatutnya”, kata Elkann pada satu acara penajaan Olimpik di Rome pada 10 November.
“Dan sudah pasti kami mempunyai pemandu yang perlu beri tumpuan pada pemanduan dan kurangkan bercakap kerana masih ada perlumbaan penting menanti, dan memperoleh tempat kedua bukan sesuatu yang mustahil.
“Di Bahrain, kami memenangi Kejuaraan Daya Ketahanan Dunia (WEC). Apabila Ferrari bersatu, kami boleh peroleh keputusan baik,” tambah Elkann.
Kenyataan Elkann mencerminkan rasa hampa dan kekecewaan pihak Ferrari, yang hampir menjuarai kejuaraan pengeluar 2024 tetapi gagal memenangi sebarang GP musim ini.
Namun, kata-kata Elkann itu merupakan satu kritikan membina dan dikeluarkan sebagai dorongan untuk memperbaiki prestasi pasukan.
McLaren, yang hanya mendahului Ferrari dengan 14 mata pada perlumbaan 2024, telah menjuarai kejuaraan musim ini dengan enam perlumbaan berbaki.
Dalam satu hantaran di media sosial, Leclerc berkata hujung minggu di Sao Paulo adalah “sangat sukar”.
Ini kerana Ferrari hanya berjaya mengumpul enam mata keseluruhan, hasil daripada prestasi Leclerc dan Hamilton yang masing-masing menamatkan perlumbaan pecut di tempat kelima dan ketujuh.
“Ia mengecewakan apabila kita pulang tanpa hampir sebarang mata untuk pasukan pada saat yang penting musim ini bagi merebut tempat kedua dalam kejuaraan pengeluar.
“Perjalanan akan menjadi sukar dari sekarang dan jelas bahawa usaha menyatukan pasukan sahaja boleh membantu kami mengubah keadaan itu dalam tiga perlumbaan terakhir.
“Kami akan berusaha sebaiknya, seperti biasa,” tambah Leclerc.
Hamilton memenangi perlumbaan pecut di China pada perlumbaan kedua musim ini, tetapi masih belum menjejakkan kaki ke podium GP.
Leclerc memulakan perlumbaan di Sao Paulo hujung minggu lalu dari petak ketiga.
Namun, beliau terlibat dalam kemalangan dengan pemandu Mercedes, Kimi Antonelli, selepas pelumba Italy itu bertembung dengan pemandu McLaren, Oscar Piastri.
Sehingga kini, Leclerc telah meraih tujuh perlumbaan di kedudukan antara tiga teratas, dengan keputusan terbaiknya ialah tempat kedua di Monaco dan Mexico. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg