Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penghormatan bagi atlet Olimpik, Paralimpik S’pura di Parlimen

Edwin Tong: Kesempatan untuk ucap tahniah kepada atlet-atlet negara terutama pemenang pingat
Sep 24, 2024 | 2:35 PM
Singapura menyambut kepulangan kontinjen Team Singapore dari Paralimpik Paris dengan meriah baru-baru ini. Atlet Paralimpik ini serta atlet Olimpik Singapura akan diberi penghormatan semasa sesi Parlimen pada Oktober.
Singapura menyambut kepulangan kontinjen Team Singapore dari Paralimpik Paris dengan meriah baru-baru ini. Atlet Paralimpik ini serta atlet Olimpik Singapura akan diberi penghormatan semasa sesi Parlimen pada Oktober. - Foto ZAOBAO

Atlet yang mewakili Singapura di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 akan diberi penghormatan semasa sesi Parlimen pada Oktober.

Demikian menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, melalui hantaran di Facebook pada 23 September.

Encik Tong berkata: “MCCY (Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) mencadangkan untuk mengucapkan tahniah kepada semua atlet kita, khususnya pemenang pingat kita – Jeralyn Tan, Maximilian Maeder dan Yip Pin Xiu – atas pencapaian mereka di temasya Paris. Atlet kita akan dijemput hadir ke Parlimen.”

Singapura diwakili 23 atlet semasa Sukan Olimpik Paris yang berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos, dengan Maeder berjaya memenangi pingat gangsa dalam sukan luncur lelayang atau kitefoiling.

Pencapaian beliau itu mengakhiri penantian lapan tahun Singapura untuk mendapatkan pingat Olimpik sejak perenang, Joseph Schooling, memenangi pingat emas di Olimpik Rio pada 2016.

Maeder juga merupakan pemenang pingat termuda Singapura pada usia 17 tahun.

Namun pencapaian atlet Singapura tidak berakhir di situ kerana semasa temasya Paralimpik yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September, 10 atlet Paralimpik turut meraih dua pingat emas dan sebutir perak.

Perenang, Yip, berjaya mempertahankan pingat emas 50 meter dan 100 meter kuak lentang S2 beliau, manakala Tan berjaya mendapatkan pingat perak dalam acara individu BC1 boccia.

Encik Tong berkongsi bahawa beberapa anggota keluarga dan jurulatih akan turut dijemput ke sesi Parlimen itu nanti.

“Mereka merupakan sebahagian penting pasukan kita, mereka teguh menyokong pasukan kita dan tidak berbelah bahagi dalam semangat mereka untuk pasukan Singapura.

“Sokongan mereka amat bermakna bagi kami,” kata beliau.

Sementara itu, persiapan untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032 sudah bermula.

Encik Tong berkata: “Kita akan meraih pengalaman dan pengajaran daripada kempen Paris, bina daripada pencapaian kita, dan terus berjuang.”

Pada 2016, Schooling menerima sambutan hangat di Parlimen selepas memenangi pingat emas Olimpik pertama negara melalui acara renang 100 meter kupu-kupu.

Kontinjen Paralimpik seramai 13 orang, termasuk Yip, turut diberi penghormatan di Parlimen pada lewat 2016.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg