Korus lagu popular Hari Kebangsaan, Home, menyambut kontinjen Team Singapore seramai 10 anggota ketika mereka tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 10 September seiring sambutan hangat oleh 100 orang yang kebanyakan terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Kumpulan itu, yang juga termasuk segelintir peminat, anggota Purple Parade – gerakan menyokong penyertaan orang kurang upaya – dan penyokong Team Nila menyanyikan bait, This is home truly... daripada lagu penyanyi tempatan, Kit Chan, ketika atlet berjalan melalui dewan ketibaan sejurus selepas 6.45 pagi.
Ukiran senyuman dan juga tangisan kelihatan ketika atlet Sukan Paralimpik itu pulang ke tanah air pada minggu yang sibuk – mereka akan menyertai perarakan bas terbuka di kawasan tengah bandar pada 14 September.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, adalah orang pertama menyambut para atlet yang bersaing dalam enam sukan semasa temasya sukan dari 28 Ogos hingga 8 September.
Pasukan itu meraih tiga pingat – dua emas dan sebutir perak – dalam prestasi terbaik mereka di Sukan Paralimpik.
Prestasi terbaik sebelumnya adalah di Rio 2016, apabila Singapura merangkul dua emas dan sebutir gangsa.
Di Tokyo pada 2021, Singapura menggondol dua emas menerusi perenang, Yip Pin Xiu.
Yip memulakan pungutan pingat negara di Paris sekali lagi ketika beliau mempertahankan gelaran S2-nya dalam acara kuak lentang 50 meter dan 100 meter.
Ini merupakan temasya sukan ketiga berturut-turut yang menyaksikan atlet para berusia 32 tahun itu dinobat juara dua kali.
Beliau adalah atlet para Singapura yang paling banyak meraih pingat, dengan tujuh emas dan sebutir perak di Sukan Paralimpik.
Pada 2 September, Jeralyn Tan, menangi pingat perak dalam boccia untuk menjadi pemenang pingat Sukan Paralimpik keempat negara selepas perenang, Yip dan Theresa Goh, dan atlet ekuestrian, Laurentia Tan.
Keluarga Tan, yang termasuk ibu bapa, nenek, mak cik dan pak ciknya, tiba di lapangan terbang seawal 5.30 pagi dengan makanan kegemarannya, kuih lapis.
Bapa Jeralyn, Rayven, 62 tahun, berkata beliau gembira menyambut kepulangan anak perempuannya.
Beliau berkata: “Dia mencapai kemuncak sukannya dengan ke Sukan Paralimpik. Kami sangat bangga dengannya dan ia sangat menggembirakan apabila melihat ramai orang di sini untuk mengalukan-alukan kepulangan pasukan.”
Abang Yip, Alvin, 39 tahun, juga berada di lapangan terbang bersama isteri dan dua anak lelakinya, yang berusia lima dan lapan tahun.
Alvin berkata anak buah Yip sangat teruja bertemu mak ciknya.
Beliau menambah:
“Kededua budak ini telah mengikutinya dalam pertandingan ini dan mereka sangat ghairah untuk berada di sini.
“Dia sangat memberi inspirasi. Saya fikir cara dia membuka laluan untuk sukan kurang upaya adalah sesuatu yang harus dipuji.”
Orang awam berpeluang menunjukkan penghargaan dan sokongan mereka kepada atlet para Team Singapore semasa perarakan bas terbuka pada 14 September.
Terdapat empat tempat bersorak yang dikhususkan untuk peminat: Chinatown (di depan Kompleks People’s Park) pada 11.50 pagi; Orchard Road (sepanjang Orchard Road dan persimpangan Bideford Road) pada 12.10 tengah hari; Serangoon Road (selepas Pasar Tekka dan menghala persimpangan Buffalo Road) pada 12.30 tengah hari; dan Victoria Street (dinding mural di 8C Jalan Kledek) pada 12.40 tengah hari.
Ini serupa dengan perarakan bas terbuka yang dianjurkan untuk pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dan atlet luncur lelayang, Maximilian Mader dan sembilan lagi altet Sukan Olimpik.
Pada ketika itu, lebih 5,000 orang berhimpun di pelbagai kawasan di bahagian bandar Singapura bagi memberi sorakan kepada atlet.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg