ENGLAND: Ange Postecoglou menegaskan biarlah tindakan dan hasil kerjanya menjadi bukti, semasa majlis pengenalan rasminya sebagai pengurus baru Nottingham Forest pada 11 September.
Beliau turut berharap dapat menambah satu lagi lembaran baru dalam sejarah kelab tersebut.
“Bagi saya, tiada apa yang perlu dibuktikan. Biarlah tindakan yang menjadi bukti,” kata jurulatih berusia 60 tahun itu kepada sekumpulan wartawan dalam sidang media pertamanya di City Ground, sejak beliau dinamakan sebagai pengganti Nuno Espirito Santo.
“Anda harus memahami tanggungjawab anda. Anda perlu menggembirakan penyokong – itulah sebabnya kelab bola sepak diwujudkan. Mereka adalah nadi dalam sukan ini.
“Itulah sahaja yang saya pentingkan. Saya (yakin) akan menang (piala utama) di sini, namun ramai akan tetap meragui saya,” katanya.
Postecoglou dipecat Tottenham Hotspur pada Jun, hanya beberapa hari selepas memenangi piala Liga Europa, satu keputusan yang beliau sudah jangkakan, selepas Spurs menamatkan saingan Liga Perdana England (EPL) di tangga ke-17.
“Keadaannya memang tidak baik. Saya sudah jangkakan ia (pemecatan ini) akan berlaku jauh lebih awal sebelum perlawanan akhir Liga Europa.
“Perkara ini membolehkan saya berpindah ke sini, dan mungkin ada sebabnya semua ini berlaku,” tambah beliau.
Sepanjang cuti rehatnya, Postecoglou tidak pasti sama ada beliau akan diberi peluang membimbing satu lagi pasukan EPL.
Beliau mengakui tidak menjangka akan kembali begitu pantas ke EPL.
Pada 13 September, beliau akan kembali ke London untuk perlawanan pertamanya sebagai pengurus baru, menentang Arsenal.
Biasanya, pengurus baru mengambil alih pasukan yang sedang bergelut dengan masalah, namun Espirito Santo telah berjaya membawa Forest kembali ke pertandingan Eropah, selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam EPL musim lalu – 27 mata lebih baik daripada pencapaian Spurs pimpinan Postecoglou.
Bagaimanapun, perselisihan faham antara Espirito Santo dengan pemilik Forest, Evangelos Marinakis, menyebabkan jurulatih Portugal itu kehilangan jawatan.
“Peluang ini muncul kerana kerja yang telah saya lakukan,” kata Postecoglou, yang memenangi piala pertama Spurs sejak 2008 dan dua kali memenangi gelaran liga Scotland bersama Celtic.
“Itulah yang membuka pintu (peluang) untuk saya,” ujarnya.
Postecoglou perlu memenangi hati penyokong Forest yang pastinya akan menyebut tentang musim EPL Spurs yang mengecewakan.
“Mereka tidak akan menyukai saya sejak hari pertama, dan saya perlu meraih penghargaan mereka.
“Ini adalah kelab unik. Jika anda dapat membina momentum (kemenangan), perkara hebat boleh berlaku.
“Semoga saya dapat membawa detik istimewa kepada kelab ini,” katanya.
Postecoglou dikritik kerana terlalu tegas dengan gaya permainan menyerangnya di Spurs, namun beliau berkata tidak akan meminta maaf atas gaya permainannya sendiri. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg