GLASGOW: Pengurus pasukan Celtic, Brendan Rodgers, berkata beliau tidak pernah ragu tentang dirinya atau pun kemampuan pasukannya untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Scotland untuk musim kali ini.
Ini bermakna Celtic telah menang 12 kejuaraan liga sepanjang 13 musim lalu.
Pendahulu liga itu memerlukan hanya satu mata di Kilmarnock untuk ditabal selaku juara tapi Celtic menang bergaya 5-0 di padang lawan.
Jaringan oleh Adam Idah pada minit kelima; Daizen Maeda (minit ke 12); James Forrest (minit ke 35); dan dua jaringan Matt O’Riley (minit ke 51 dan 71) cukup memberi kenangan manis buat Celtic.
Celtic menguasai permainan dengan mempunyai 75 peratus kawalan sepanjang perlawanan itu.
Tidak hairan juga mereka mempunyai 30 percubaan ke gawang lawan berbanding hanya 12 oleh Kilmarnock.
Memang ramai yang sangsi pada kemampuan Rodgers.
Banyak persoalan timbul tentang Rodgers, yang kembali ke kelab itu di sebalik banyak kontroversi yang melanda, dalam musim kali ini.
Namun pengurus Celtic itu berjaya menepis semua kesangsian dan terus menumpukan perhatian terhadap pasukannya yang akhirnya mengumpul enam mata di hadapan dengan hanya baki satu perlawanan.
“Terdapat banyak tekanan ke atas para pemain, tapi anda hanya perlu lihat pada keputusan dan corak permainan pasukan ini untuk menentukan nasib kami.
“Ia amat bermakna buat saya. Padahal banyak persoalan yang timbul mengenai saya.
“Ada yang bertanya jika saya cukup baik untuk pasukan ini, atau adakah saya mampu uruskan mereka. Dan ada pula kata jika saya dapat bimbing mereka untuk bermain cara bola sepak yang diinginkan.
“Jika ada kesangsian, sudah pasti ia akan mencetuskan masalah. Tapi saya ingin katakan, yang saya tidak sangsi dengan pasukan saya pada musim ini.
“Sedang masa berlalu, pasukan kami terus bertambah baik.
“Saya juga amat berpuas hati dengan para penyokong kami, kerana sepanjang beberapa bulan lalu mereka sudah berikan yang terbaik pada kami,” kata Rodgers.
Celtic sudah dapat jangkakan yang mereka akan menjadi juara meskipun ia tradisi pasukan itu.
Musuh pasukan itu, Glasgow Rangers menang 5-2 ke atas Dundee United manakala tewas 2-1 kepada Celtic pada 11 Mei lalu.
“Tahap persembahan kami memang luar biasa.
“Memang kami sedar yang kami akan berhadapan dengan persaingan kuat pasukan lain.
“Tapi segalanya yang saya inginkan daripada pasukan kami termasuk teknik, ketangkasan, kekuatan, pergerakan, kreativiti – semuanya ada.
“Secara keseluruhannya kami sebuah pasukan hebat dan cara kami menang memang luar biasa,” tambah Rodgers.
Semasa Rodgers kembali ke Celtic, sesetengah peminatnya mengenang kembali pemindahannya ke Leicester City pada Februari 2016.
Dan sedang musuh ketat Celtic, Rangers terus mengukuhkan kedudukan, lebih ramai peminat yang berasa kian tidak berpuas hati dengan Rodgers.
Meskipun begitu, pengurus asal Ireland itu terus mendiamkan diri dan membiarkan keputusan perlawanan pasukannya menjadi bukti kemampuan beliau.
Bekas penjaga gawang Celtic, Pat Bonner, dipetik media sebagai berkata:
“Ramai yang rasa kecewa apabila Rodgers kembali ke Celtic.
“Sebabnya beliau telah berpindah ke sebuah kelab lebih besar di England di mana peluangnya jarang diperolehi.
“Sesetengah peminat berasa sukar untuk menerimanya kembali. Namun Rodgers berjaya mengatasi perasaan negatif itu.”
Bekas pemain Scotland, Michael Stewart, pula berasa meskipun Rodgers telah sekali lagi membuktikan kemampuannya, namun kini beliau perlu buktikan pula di peringkat Eropah.
“Rodgers seorang pengurus bermutu dan hebat.
“Apa yang membuatnya rasa kecewa sejauh ini adalah beliau belum membawa Celtic ke peringkat lebih tinggi di Eropah. Itulah langkah beliau selanjutnya,” kata Stewart.
Ini merupakan kejuaraan Liga Perdana Scotland ketiga buat Rodgers.
Pada musim 2018 hingga 2019, Celtic, di bawah pimpinan Rodgers mendahului liga dengan lapan mata apabila ditabal juara liga.
Keputusan awal pasukan itu dalam musim kali ini bukan sesuatu yang membanggakan.
Sebabnya Celtic hanya mampu seri tanpa jaringan dengan St Johnstone, namun Celtic berjaya menang 1-0 ke atas Rangers di padang lawan pada September 2023.
Pada Disember 2023, Celtic tewas dua perlawanan berturut-turut, sehinggakan Rangers mula mendahului liga menjelang Februari 2024.
Permainan Rangers kemudian mula merosot dan pada April, Celtic mula menunjukkan kemajuan sejak itu sehingga akhirnya bergelar juara Liga Perdana Scotland. – Agensi berita.
“
“... banyak persoalan yang timbul mengenai saya. Ada yang bertanya jika saya cukup baik untuk pasukan ini, atau adakah saya mampu uruskan mereka. Dan ada pula kata jika saya dapat bimbing mereka untuk bermain cara bola sepak yang diinginkan. Jika ada kesangsian, sudah pasti ia akan mencetuskan masalah. Tapi saya ingin katakan, yang saya tidak sangsi dengan pasukan saya pada musim ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg