LONDON: Newcastle United kembali membuat penampilan di Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, hanya sekitar 18 bulan selepas konsortium yang disokong Arab Saudi mengambil alih kelab itu daripada pemilik sebelum ini, Mike Ashley.
Pada Oktober 2021, Newcastle tidak mencatatkan sebarang kemenangan dan berada di tangga corot Liga Perdana England (EPL) sehinggalah Eddie Howe, 45 tahun, menggantikan Steve Bruce sebagai pengurus dan membimbing kelab itu menaiki tangga kedudukan EPL sebelum menamatkan musim ini di tempat keempat.
Apabila Howe tiba di kelab itu, beberapa pemain senior dikatakan tidak cergas.
Lantaran itu beliau mengurangkan hari cuti, memulakan sesi latihan pada waktu lebih awal dan menunjukkan contoh teladan dengan tiba ke tempat kerja secara tetap pada 6 pagi.
Pemain tidak lama kemudian melaporkan bahawa mereka “begitu kepenatan” selepas sesi latihan.
Semasa proses temu duga untuk jawatan pengurus, beliau menjadi pilihan kedua selepas Unai Emery yang menolak tawaran Newcastle untuk kekal bersama Villarreal, sebelum beliau akhirnya menyertai Aston Villa.
Namun Howe berjaya pikat perhatian Newcastle kerana pembentangannya yang terperinci – termasuk rancangan bagi pemain secara individu untuk membantu mereka berkembang.
Salah seorang daripadanya yang disebut pada waktu itu ialah Joelinton.
Pemain asal Brazil itu tidak pernah disangsikan kebolehannya kerana kegigihan dan daya fiziknya digunakan Howe untuk mengubahnya daripada penyerang yang tumpul di hadapan gol kepada pemain midfield agresif.
Arahan taktikal dimudahkan bagi setiap pemain dan ia diperkukuh setiap hari.
Kaedah yang diterapkan beliau dilakukan dengan penuh teliti dan terperinci tetapi ia membuahkan hasil kerana pemain-pemain memahami rancangannya dengan mudah dan mereka komited.
Pemain midfield Sean Longstaff adalah antara contoh keupayaan pengurus itu dalam usaha melakar meningkatkan pemain.
Sebelum perlawanan akhir Piala Carabao, Sean berkata Howe menyelamatkan kerjayanya di kelab tersebut.
Awal daripada itu, terdapat desas-desus bahawa pemain tersebut akan berpindah ke Everton untuk menyertai pasukan kendalian Rafael Benitez.
Sebagai usaha penambahbaikan lanjut, Newcastle turut membuat pelaburan dalam menaik taraf tempat latihan, dengan ruang makan dan bangunan merangkumi kolam hidroterapi dan bilik persalinan yang baru.
Selain itu, sebelum penyertaan pengarah bola sepak Dan Ashworth di kelab itu pada Jun, pemegang saham minoriti Amanda Staveley, Mehrdad Ghodoussi dan Jamie Reuben bekerjasama dengan ketua pengambilan pekerja Steve Nickson dan Howe.
Beberapa perubahan utama dari segi mengukuhkan skuad diperlukan untuk membantu pasukan itu kekal bersaing dalam EPL pada Januari 2022.
Sungguhpun bajet bagi tempoh pemindahan pemain sudah diperhalusi dan tersedia setelah kelab itu diambil alih, kesediaan untuk mengutamakan pasukan kekal sebagai faktor paling penting dalam apa-apa tawaran.
Howe memberi tumpuan utama kepada pemindahan pemain Inggeris atau EPL, termasuk Dan Burn dari Brighton; Matt Targett yang pada mulanya dipinjamkan oleh Aston Villa; Chris Wood dari Burnley dan Kieran Trippier dari Atletico Madrid.
Trippier melahirkan hasrat berpindah menyusuli interaksi bersama Howe apabila pengurus itu hadir untuk melihat Atletico berlatih.
Beliau memberitahu Howe keinginannya untuk berada lebih dekat dengan keluarganya di England.
Nickson pula berhasil mendapatkan bakat-bakat terbaik Eropah yang berjaya ditemukannya.
Awalnya, pemain bek tengah asal Belanda Sven Botman disebut-sebut tetapi beliau tidak dapat dipikat dari kelab Perancis, Lille.
Sebaliknya, pemain midfield antarabangsa asal Brazil, Bruno Guimaraes, menyertai Newcastle pada tempoh pemindahan pertama Howe di Newcastle. Beliau berpindah dari Lyon dan bijak mengawal rentak permainan.
Guimaraes menyatakan beliau memilih Newcastle kerana aspirasi kelab itu berbanding kelab-kelab lain yang memberi tawaran.
Dalam pada itu, rekod pertahanan Howe semasa beliau mengurus Bournemouth menjadi pertikaian setelah pasukan itu tersingkir dalam musim terakhirnya bersama kelab tersebut.
Tetapi musim ini, Newcastle mencatatkan jumlah jaringan yang dibolos paling rendah dalam liga, dikongsi dengan juara EPL Manchester City.
Rekod sembilan perlawanan berturut-turut tanpa gol dibolosi pada awal musim adalah bukti evolusi pertahanan Howe.
Beliau telah beralih daripada formasi 4-4-2 kepada 4-3-3 yang mana pemain sayap perlu lebih proaktif. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg