LONDON: Pengurus pasukan Liverpool, Arne Slot, mengucapkan terima kasih kepada “seluruh masyarakat bola sepak” atas sokongan yang diberikan berikutan satu insiden rempuhan kereta di pusat bandar Liverpool, selepas beliau dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik 2024-2025, dan Pengurus Liga Perdana Terbaik 2024-2025, pada majlis Anugerah Persatuan Pengurus Liga England (LMA).
Beliau menyampaikan penghargaan tersebut berikutan insiden sebuah kereta yang merempuh sekumpulan penyokong Liverpool semasa perarakan meraikan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) kelab itu pada 27 Mei.
Sekitar 50 orang – termasuk empat kanak-kanak – cedera dalam kejadian itu.
Slot, 46 tahun, dianugerahkan Piala Sir Alex Ferguson dalam majlis tahunan LMA di London, namun beliau tidak menghadiri majlis itu.
Selepas menggantikan bekas pengurus, Jurgen Klopp, pada musim panas lalu, Slot hanya menandatangani seorang pemain baru dari Italy – penyerang, Federico Chiesa.
Namun, beliau tetap berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana kedua buat Liverpool, dengan kelebihan 10 mata di hadapan Arsenal.
“Saya terpaksa menarik diri daripada menghadiri acara ini sebagai tanda bersatu hati dengan semua yang terjejas (dalam insiden tersebut),” ujar beliau.
“Ini bukan keputusan yang mudah saya ambil, tetapi saya merasakan ia adalah keputusan yang betul memandangkan keadaan serius ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh masyarakat bola sepak, termasuk LMA, Liga Perdana England, dan banyak kelab atas sokongan yang kami terima sepanjang 24 jam lalu.
“Bola sepak adalah dan harus sentiasa menjadi satu permainan berdasarkan persaingan, tetapi ia juga adalah sumber persahabatan yang amat baik, terutamanya pada masa-masa seperti ini.
“Saya juga ingin merakam penghargaan kepada khidmat kecemasan dan pihak berkuasa lain di Liverpool yang segera bertindak sebaik sahaja insiden ini berlaku.
“Bersama para penyokong dan orang awam yang membantu satu sama lain dalam masa yang memerlukan ini, saya rasa semua yang terlibat selepas insiden ini wajar menerima penghargaan daripada kita semua,” tambah beliau.
Polis memaklumkan bahawa mereka telah menahan seorang lelaki kulit putih Britain berusia 53 tahun dari kawasan Liverpool, yang didakwa sebagai pemandu kenderaan dalam insiden rempuhan itu.
Pihak ambulans menyatakan seramai 27 orang telah dibawa ke hospital, termasuk empat kanak-kanak. Seorang kanak-kanak dan seorang dewasa dilaporkan dalam keadaan serius. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg