LONDON: Pemain Liga Perdana berumur bawah 21 tahun diketepikan lebih lama akibat kecederaan berbanding sebelum ini, dengan masalah lutut yang semakin meningkat, demikian dapatan hasil satu tinjauan.
Data baru daripada kumpulan insurans global Howden mengenai ‘Indeks Kecederaan Bola Sepak Eropah Lelaki’ turut mendedahkan trend yang sama di seluruh liga lelaki terkemuka Eropah.
Pendedahan itu timbul ketika kalendar kelab dan antarabangsa kian diteliti dengan ramai pemain berpendapat jadual yang padat menjejas kebajikan mereka.
Ketua sukan di Howden, James Burrows, menekankan “desakan fizikal yang semakin menekan” ke atas pemain sebagai punca meningkatnya kecederaan.
“Memandangkan kepadatan perlawanan yang semakin sengit dengan pertandingan yang diperluaskan di peringkat domestik dan antarabangsa, kami melihat lebih ramai pemain diketepikan untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.
Laporan Pemantauan Beban Kerja Pemain 2024 oleh kesatuan pemain Fifpro, mendapati 78 peratus jurulatih dan 72 peratus pemain yang ditinjau, menyokong pelaksanaan tempoh rehat yang terjamin dalam kalendar.
Laporan yang sama memperincikan bagaimana pemain tengah England dan Real Madrid, Jude Bellingham, bermain dalam 251 perlawanan sebelum mencapai 21 tahun pada Jun, manakala bekas kapten England, David Beckham, bermain 54 perlawanan.
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) berkata sesetengah pemain “berasa mereka dipaksa bermain sehingga melampaui had fizikal mereka”.
“Kami juga dapat melihat pemain menyerap beban kerja ini pada usia yang lebih muda berbanding sebelum ini.
“Kami sentiasa menyatakan bahawa pendekatan bola sepak terhadap kalendar mestilah diterajui oleh pemain, dan berdasarkan pemahaman yang betul tentang cara pemain secara fizikal boleh menangani tuntutan tersebut.
“Ini penting terutamanya untuk pemain muda yang kami mahukan kerjaya mereka lebih lama dan berjaya,” kata jurucakap PFA.
Menurut laporan Howden, terdapat peningkatan besar jumlah kecederaan yang dialami oleh pemain muda Liga Perdana England (EPL) dan masa yang mereka habiskan ketika diketepikan.
Pada 2023 hingga 2024, pemain bawah 21 tahun EPL menghabiskan purata 43.92 hari bagi setiap kecederaan, meningkat daripada 26.5 pada 2022 hingga 2023 dan peningkatan 187 peratus berbanding musim 2020 hingga 2021.
Jumlah keseluruhan hari yang dihabiskan untuk kecederaan meningkat daripada 901 kepada 2,240, manakala jumlah kecederaan yang dialami meningkat daripada 34 kepada 51.
Peningkatan dalam ketiga-tiga tempoh itu sebahagian besarnya dicerminkan di seluruh Serie A, Ligue 1, La Liga dan Bundesliga.
Menariknya, pemain muda mengalami kecederaan yang lebih sedikit dan menghabiskan lebih sedikit masa rehat semasa kempen yang dipanjangkan menjelang pertengahan musim Piala Dunia 2022.
Tinjauan itu juga menunjukkan jumlah kecederaan lutut yang dialami pemain di seluruh lima liga lelaki terbaik Eropah telah mencapai tahap tertinggi.
Terdapat 367 kejadian pada 2023 hingga 2024, meningkat daripada 333 pada musim sebelumnya, 352 pada 2021 hingga 2022 dan 279 pada 2020 hingga 2021.
Meskipun purata bilangan hari yang diketepikan akibat masalah lutut turun sedikit daripada 52.95 kepada 51.46, namun angka terkini adalah jauh lebih tinggi daripada 33.56 hari yang dicatatkan pada 2021 hingga 2022. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg