Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengurus PSG Galtier dibicarakan atas dakwaan perkauman, diskriminasi

Jul 3, 2023 | 2:21 PM
KONTROVERSI: Pengurus Paris St-Germain (PSG), Christophe Galtier, akan dibicarakan di mahkamah pada 15 Disember kerana didakwa membuat komen perkauman dan diskriminasi terhadap pemain Islam dan berkulit hitam semasa mengurus bekas kelab Nice.
KONTROVERSI: Pengurus Paris St-Germain (PSG), Christophe Galtier, akan dibicarakan di mahkamah pada 15 Disember kerana didakwa membuat komen perkauman dan diskriminasi terhadap pemain Islam dan berkulit hitam semasa mengurus bekas kelab Nice. - Foto AFP

PARIS: Pengurus Paris St-Germain (PSG), Christophe Galtier, akan dibicarakan di mahkamah pada 15 Disember kerana didakwa membuat komen perkauman dan diskriminasi terhadap pemain Islam dan berkulit hitam semasa mengurus bekas kelab Nice.

Galtier dan anaknya, John Valovic–Galtier, ditahan untuk disoal siasat pada pagi Jumaat. Selepas anaknya dibebaskan tanpa tuduhan, Galtier pula dirujuk ke pejabat pendakwa raya.

Pengurus PSG itu akan dibicarakan atas tuduhan gangguan psikologi dan diskriminasi, kata pendakwa raya Xavier Bonhomme di Twitter.

Galtier, 56 tahun, menafikan tuduhan membuat komen perkauman dan anti-Islam semasa mengurus Nice. Jika didapati bersalah, beliau boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan didenda £38,700 ($66,394).

Bonhomme berkata siasatan awal telah dilakukan oleh polis Nice.

Stesen radio RMC Sport dan media Perancis lain menerbitkan laporan yang memetik e-mel dihantar bekas pengarah sukan Nice, Julien Fournier, kepada pemilik kelab.

Di dalam e-mel itu, Fournier didakwa berkata Galtier mengadu pada Ogos 2021 bahawa terdapat terlalu ramai pemain berkulit hitam dan Islam dalam kelab itu, dan ia tidak menggambarkan profil penduduk bandar itu.

Galtier, yang dijangka meninggalkan PSG pada musim panas ini, berkata beliau “sangat terkejut dengan dakwaan itu” dan telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap dua wartawan dan Fournier.

Ketua Perhubungan PSG, Julien Maynard, berkata “dakwaan serius” telah dibuat terhadap Galtier dan kelab itu menyokongnya sepenuhnya.

RMC Sport berkata Fournier, menulis surat kepada pengarah sukan Ineos, Sir Dave Brailsford, untuk memberitahunya tentang butiran perbualannya dengan Galtier.

Ineos adalah sebuah syarikat bahan kimia yang memperoleh Nice pada 2019 dan melantik Galtier sebagai jurulatih pada 2021 selepas beliau memenangi liga Perancis bersama Lille.

Galtier mengurus Nice selama satu musim antara 28 Jun 2021 dan 27 Jun 2022 sebelum menyertai PSG sebagai pengurus pada 30 Jun 2022, manakala Fournier meninggalkan Nice pada 2022 selepas lebih sedekad berkhidmat di kelab itu.

Galtier memimpin PSG untuk memenangi liga Perancis seperti yang dijangkakan, tetapi kelab itu disingkir oleh Bayern Munich pada pusingan 16 pasukan terbaik dalam Liga Juara–Juara dan disingkir pula oleh Marseille dalam Piala Perancis.

Beliau mempunyai baki setahun dalam kontraknya di PSG, tetapi kelab itu dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan bekas jurulatih Sepanyol dan Barcelona, Luis Enrique, untuk menggantikannya dalam beberapa hari akan datang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg