MANCHESTER: Darren Fletcher berkata beliau telah mendapatkan restu bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, sebelum mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara di Old Trafford.
Fletcher akan mengendalikan pasukan itu bagi perlawanan Liga Perdana England (EPL) menentang Burnley pada 7 Januari, menyusuli pemecatan bekas ketua jurulatih United, Ruben Amorim.
Pengurus asal Scotland itu dijangka terus mengemudi pasukan itu dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Brighton pada 11 Januari.
Menurut Fletcher, beliau menerima peranan tersebut selepas berbincang dengan Ferguson, 84 tahun, yang hadir di Stadium Elland Road pada 4 Januari untuk perlawanan terakhir Amorim sebagai pengurus.
Perlawanan United menentang Leeds itu berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Selepas perlawanan itu, Amorim mengadakan sidang media mengejutkan yang akhirnya membawa kepada pemecatannya.
“Saya tidak suka buat apa-apa keputusan besar tanpa berbincang dengan Sir Alex,” kata Fletcher, 41 tahun.
“Hubungan saya dengan Sir Alex sangat baik, jadi saya mahu berbincang dengan beliau terlebih dahulu dan mendapatkan restunya, jika saya benar-benar berterus terang. Saya rasa beliau sepatutnya mendapat penghormatan itu.
“Saya mahu berkongsi rancangan ini dengan beliau, dan beliau sependapat dengan pandangan saya. Apabila anda bekerja di kelab, tugas anda adalah untuk melakukan yang terbaik untuk Manchester United.
“Ia sesuatu yang saya cuba amalkan dan yakini setiap hari, jadi ia memberi ketenangan kepada saya apabila beliau mengesahkan perkara itu,” tambahnya.
Salah satu kritikan tajam Amorim semasa sidang media di Leeds ialah kepercayaannya bahawa pengurusan atasan di Old Trafford terlalu mengambil berat pandangan pengulas atau penganalisis, terutamanya bekas kapten, Gary Neville.
Fletcher pernah bermain di sisi kebanyakan mereka dan masih bersahabat dengan mereka.
Sebagai seseorang yang pernah menerima kritikan hebat ketika beliau membuat penampilan sulung dalam kelab itu dua dekad lalu, beliau merasakan ia adalah sesuatu yang perlu diterima oleh skuad semasa.
“Anda tidak boleh meminta mereka (pengulas) bersikap lembut (dengan kami) kerana mereka sangat bersemangat, mempunyai hak untuk bersuara, dan (ulasan) mereka memang bagus,” kata Fletcher.
Pengurus sementara itu menambah:
“(Pandangan) mereka menarik. Seronok mendengar pandangan mereka. Saya sendiri menikmatinya. Saya sudah bertahun-tahun mendengar (ulasan) mereka di bilik persalinan dan selalu duduk dan dengar dengan penuh perhatian.
“Suara latar dari luar sukar untuk dihadapi kerana pemain-pemain itu telah memenangi pelbagai perlawanan.
“Mereka telah berjaya dan mengumpul banyak piala. Sukar untuk mengkritik mereka kerana piala mereka terlalu banyak.
“Tetapi itulah hakikat menjadi pemain Manchester United. Terima hakikat itu, belajar cara untuk menanganinya, dan hadapi cabaran itu dengan penuh semangat.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg