Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyokong United berbelah bahagi Amorim dipecat

Jan 6, 2026 | 2:46 PM
Penyerang Manchester United, Matheus Cunha (kanan) meraikan gol penyamaan ketika berdepan Leeds United pada aksi Liga Perdana England di Elland Road, Leeds. Keputusan seri 1-1. Ia merupakan perlawanan terakhir  Ruben Amorim sebagai pengurus Manchester United.
Penyerang Manchester United, Matheus Cunha (kanan) meraikan gol penyamaan ketika berdepan Leeds United pada aksi Liga Perdana England di Elland Road, Leeds. Keputusan seri 1-1. Ia merupakan perlawanan terakhir Ruben Amorim sebagai pengurus Manchester United. - Foto Reuters

MANCHESTER: Penyokong Manchester United menunjukkan reaksi yang bercampur-campur pada 5 Januari selepas kelab itu memecat ketua jurulatih Ruben Amorim.

Ada yang meluahkan rasa lega kerana sudah jemu dengan pendekatan taktikal yang terlalu kaku, pemilihan pemain yang pelik serta sidang media yang sering mengelirukan.

Namun, tidak kurang juga yang marah dengan satu lagi pertukaran pengurus – meneruskan pencarian lebih sedekad bagi individu tepat untuk mengembalikan era kegemilangan Alex Ferguson.

“Ramai penyokong tak puas hati dengan pertukaran pemainnya,” kata seorang peminat di luar Old Trafford.

“Pemilihan kesebelasan, susunan pasukan dan cara beliau bercakap kebelakangan ini… beliau sangat keras kepala. Tak terima kritikan. Sama ada ikut caranya, atau tiada cara langsung.”

Seorang lagi peminat berpendapat ledakan emosi Amorim selepas keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada 4 Januari menjadi titik penentu nasibnya.

“Itu permulaan pengakhiran,” katanya.

“Itu bukan cara United untuk membuka aib sendiri kepada media.”

“Saya tak pasti sama ada mesejnya tidak kesampaian, tapi jelas beliau berada di bawah tekanan. Nampak pada dirinya. Sejujurnya, saya rasa beliau sendiri mahu berundur. Mungkin sudah tiba masanya Jose Mourinho kembali.”

Ada juga yang kecewa dengan kekerapan pertukaran pengurus.

Amorim merupakan pengurus United ke-10, secara sementara atau tetap, sejak Ferguson bersara pada 2013.

“Terus terang, saya tak begitu gembira,” kata seorang penyokong.

“Tidak kira pandangan anda tentang Amorim sebagai individu atau profesional, jika kita asyik menukar pengurus, hasilnya akan sama.”

“Saya rasa kelab patut beri beliau hingga akhir musim. Kita tidak akan nampak kemajuan kalau tidak setia dengan seorang pengurus dan satu falsafah permainan. Jadi ya, saya sedih melihat beliau pergi.”

Seorang penyokong lain pula menegaskan masa pemecatan itu tidak sesuai, ketika United kehilangan beberapa pemain penting akibat kecederaan dan aksi antarabangsa di Piala Negara-Negara Afrika (Afcon).

“Beliau sebenarnya menunjukkan kemajuan,” katanya.

“Saya nampak permainan yang bagus walaupun pemain utama tiada. (Pemain terlibat dengan) Afcon, Bruno Fernandes pun tidak ada. Tapi saya rasa pertelagahan dengan pihak pengurusan, khususnya dengan Pengarah Bola Sepak United, Jason Wilcox, menjadi titik akhirnya.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg