Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengurusan baru Man United sasar buru kejayaan berterusan

Jul 24, 2024 | 3:28 PM
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag (kanan), bersama pasukan jurulatihnya ketika perlawanan persahabatan menentang Rangers pada 20 Julai.
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag (kanan), bersama pasukan jurulatihnya ketika perlawanan persahabatan menentang Rangers pada 20 Julai. - Foto REUTERS

LONDON: Pengarah sukan Manchester United, Dan Ashworth, berkata bahawa pengurusan baru kelab itu berazam mahu memulihkan reputasi United selepas mereka “gagal mencapai piawaian diperlukan” musim lalu.

Pengarah berusia 53 tahun itu adalah sebahagian pengurusan terbaru pasukan Old Trafford yang dilantik Jim Ratcliffe, selepas jutawan Britain itu selesai membeli kepentingan minoriti dalam kelab Red Devils.

Ratcliffe mempunyai kuasa ke atas operasi bola sepak United dan pada awal 2024, beliau mengetengahkan keazamannya untuk mengatasi penguasaan Manchester City di Liga Perdana England (EPL).

United menamatkan saingan di tempat kelapan dan 31 mata di belakang juara liga, City, tetapi menunjukkan sinar kekuatan dengan menewaskan pasukan Pep Guardiola itu dalam perlawanan akhir Piala Persatuan Bola Sepak (FA).

Keputusan itu cukup untuk menyelamatkan tugasan Erik ten Hag selepas pengurus United itu dilaporkan hampir dipecat.

Ashworth, yang mengambil alih peranan barunya pada awal Julai selepas meninggalkan kelab Newcastle, mengakui tidak cukup untuk United hanya mempunyai kekuatan kewangan namun prestasi mereka di padang menghambarkan.

“Man United kekal sebagai salah satu kelab bola sepak terbesar di dunia, tetapi itu bukan kayu ukur kejayaan kami,” katanya dalam mesej yang disiarkan di laman web United.

“Tumpuan kami adalah untuk kembali menjadi antara yang terbaik di padang.

“Ia tidak akan berlaku dalam sekelip mata tetapi dengan pengarah eksekutif baru, Omar (Berrada), dan pasukan pemimpin barunya, kami tidak akan berputus asa.

“Kami sedar bahawa kami tidak mencapai piawaian yang diperlukan dalam EPL dan Liga Juara-Juara pada musim lalu, tetapi dengan memenangi Piala FA, pemain dan kakitangan kami telah menunjukkan kemampuan mereka apabila mereka bersatu dan beraksi mengikut potensi mereka.

“Cabaran bersama kami adalah untuk mencapai tahap tersebut secara konsisten,” tambahnya.

Sejak akhir musim lalu, United mula sibuk di pasaran pemindahan dengan membawa masuk penyerang Belanda, Joshua Zirkzee, dari Bologna dan pemain pertahanan remaja Perancis, Leny Yoro, dari Lille.

Ratcliffe dilaporkan telah berbincang dengan bekas pengurus Bayern Munich dan Chelsea, Thomas Tuchel, untuk mengambil alih tugas sebagai pengurus United, sebelum memilih untuk mengekalkan ten Hag.

Ashworth percaya keputusan itu akan membuahkan hasil dalam jangka masa panjang.

“Keputusan besar pertama kami pada musim panas adalah untuk melanjutkan kontrak Erik ten Hag sebagai pengurus pasukan utama lelaki sehingga Jun 2026.

“Ia mencerminkan kepercayaan kami kepadanya sebagai salah seorang pengurus terkemuka Eropah dan individu yang kami mahu terus bekerjasama dengan untuk membawa pasukan kembali ke tahap yang diinginkan,” tambahnya.

“Kini, saya sudah dapat rasakan tenaga dan keazaman yang kuat dalam pasukan, apabila pemain dan kakitangan kembali segar daripada musim rehat mereka, serta beberapa penambahan baru ke dalam skuad.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg