Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeninju muda korban masa demi impian sertai Sukan SEA
Peninju muda korban masa demi impian sertai Sukan SEA
Latihan mula seawal 4 pagi selain perlu imbangi tanggungjawab sebagai pelajar
Peninju muda korban masa demi impian sertai Sukan SEA
Ketika jam baru sahaja menunjukkan 4 pagi, dan semasa kebanyakan remaja seusianya masih lena tidur, peninju berusia 17 tahun, Nur Muhammad Maatin, sudah pun mengikat tali kasut sukannya, bersedia untuk memulakan latihan harian.
“Hari latihan biasa saya bermula dengan bangun pada 4 pagi dan berlari sejauh empat hingga lima kilometer untuk memanaskan badan.
“Selepas itu, saya akan melakukan 12 pusingan shadow boxing,” katanya.
Komitmennya tidak terhenti di situ. Dari sebelah petang hingga ke malam, beliau terus memerah tenaga demi sukan yang amat dicintainya.
Rutin padat itu mungkin kelihatan luar biasa bagi seorang remaja seusianya, lebih-lebih lagi ketika perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar Menengah 4 di Sekolah Menengah Northlight.
Namun bagi Maatin, pengorbanan tersebut mencerminkan minat mendalam serta keazaman tinggi untuk berjaya dalam sukan tinju.
Semangat itu juga banyak dipengaruhi latar belakang keluarganya.
Bapanya, Abdul Ghaffar, merupakan bekas peninju nasional dan anak didik kepada legenda tinju Singapura, Syed Kadir.
Pendedahan kepada dunia tinju sejak usia muda bukan sahaja menanam minat dalam diri Maatin, malah turut membentuk disiplin dan ketabahan yang dibawanya sehingga hari ini.
“Saya mula meninju sejak usia empat tahun dan mula secara serius sejak usia sembilan tahun,” cerita Maatin.
Walaupun beliau mendalami dunia tinju, Maatin mengakui sukan itu bukanlah cinta pertamanya semasa kecil.
“Saya sebenarnya mahu menjadi seorang perenang dan bercita-cita untuk jadi seperti Joseph Schooling,” katanya.
“Namun semakin banyak saya belajar tentang tinju, semakin saya mula jatuh cinta dengan sukan ini.”
Minatnya berkembang secara semula jadi hasil pendedahan yang diterimanya sejak kecil menerusi bapanya.
“Saya sering mengikut bapa saya ke latihan di Kadir Boxing School kerana beliau (bapa) merupakan jurulatih di sana ketika itu,” kongsi Maatin.
“Membesar sambil melihat atlet kebangsaan berlatih bersungguh-sungguh dan bertanding untuk mewakili Singapura, sentiasa memberi motivasi kepada saya.”
Inspirasi itu akhirnya mendorong Maatin memasang impian besar pada usia cukup muda.
“Ketika saya berusia enam tahun, saya pernah memberitahu bapa bahawa saya mahu mewakili Singapura di Sukan SEA dan juga Olimpik.”
Dalam mengejar impian di gelanggang tinju, Maatin mengakui beliau terpaksa mengorbankan banyak perkara yang dianggap normal bagi remaja lain.
“Saya telah mengorbankan sambutan hari lahir, majlis keluarga dan sebahagian zaman kanak-kanak saya demi tinju.”
“Namun bagi saya, semua itu tidak penting buat masa sekarang.
“Apabila saya sudah mencapai sasaran saya nanti, barulah saya boleh menikmati kehidupan dengan tenang.”
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, Maatin bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarganya.
“Keluarga saya sentiasa menyokong saya sejak saya berusia empat tahun lagi, dan itu amat bermakna buat saya.
“Keluarga sentiasa menjadi motivasi terbesar saya kerana mereka sentiasa ada tidak kira apa pun keadaan,” ujarnya lagi.
Segala pengorbanan dan kerja keras itu mula membuahkan hasil, apabila beliau berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Terbuka Pulau Pinang 2025, kejohanan antarabangsa pertamanya bersama Singapura.
“Itu merupakan pertarungan antarabangsa pertama saya ketika mewakili Singapura.
“Tekanannya sangat tinggi, tetapi saya berjaya mengatasinya dan membawa pulang emas,” katanya.
Kini, beliau memasang impian lebih besar untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Sasaran jangka pendek saya adalah untuk terus mewakili negara dalam kejohanan besar sehingga saya dapat mewakili Singapura di Sukan SEA suatu hari nanti,” katanya dengan semangat.
“Saya juga amat menantikan peluang untuk bertanding di Sukan SEA 2029.”
