LEIPZIG: Ketangkasan Gordon Banks menafikan Pele di Piala Dunia 1970 dikenali sebagai ‘save of the century’, kini seorang lagi penjaga gawang mampu menandingi gelaran itu.
Penjaga gol Turkey, Mert Gunok, yang ‘terbang’ untuk menepis tandukan Christoph Baumgartner akan terpahat dalam ingatan mereka yang melihatnya.
Ia juga merupakan aksi menyelamatkan bola yang penting, dihasilkan pada penghujung perlawanan pusingan 16 terakhir, sekali gus menafikan Austria daripada mendapat gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan.
Pengurus Austria, Ralf Rangnick, berasa mereka wajar menerima kekalahan itu.
“Kami tidak ada nasib. Saya percaya jika perlawanan itu bersambung ke masa tambahan, kami akan menang,” kata Rangnick.
“Kami punyai masa untuk menjaringkan gol penyamaan, tetapi ia sukar apabila mereka mempunyai ‘Gordon Banks’ di gawang!”
Pada Euro 2024, terdapat beberapa gol yang dijaringkan pada minit-minit akhir seperti tendangan cemerlang Jude Bellingham bagi England ketika menentang Slovakia pada Ahad, namun ketangkasan Mert Gunok menyelamatkan bola ini mampu menandingi gol minit akhir itu.
Turkey menghadapi tekanan tanpa henti daripada Austria sehingga lewat permainan dan pada minit ke-94, Austria melancarkan satu serangan terakhir.
Dengan pertahanan Turkey sudah lelah, Baumgartner mencari ruang dan menanduk bola ke arah bawah.
Bola tergelincir dari padang yang basah menuju ke sudut bertentangan apabila Gunok, 35 tahun, bergerak pantas menepis keluar.
Pertahanan Turkey, Merih Demiral, yang menjaringkan dua gol – termasuk gol peringkat kalah mati terpantas dalam sejarah Kejohanan Eropah – dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan tetapi memberi penghormatan kepada Gunok.
“Mert melakukan kerja yang hebat. Kami mengadakan perbincangan selepas wisel penamat dan saya tidak percaya apa yang saya lihat – mungkin antara aksi menyelamatkan bola terbaik yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri,” kata Demiral.
“Beliau berhak mendapatnya. Mert adalah pemain tertua dalam pasukan dan sentiasa membimbing kami dan menunjukkan jalan ke hadapan, jadi saya sangat gembira beliau menyelamatkan bola itu.”
Pengurus Turkey, Vincenzo Montella, adalah antara yang tidak berlebihan memuji Gunok, tetapi beliau tidak memperkecilkan tindakan yang telah membantu negaranya.
“Saya tidak tahu, kerana terdapat begitu banyak aksi menyelamatkan bola yang menakjubkan,” kata Montella apabila ditanya pendapatnya mengenai kedudukan Gunok menyelamatkan bola dalam senarai sepanjang zaman.
“Saya gembira untuknya, gembira untuk pasukan, gembira untuk negara dan gembira untuk kumpulan yang kami cipta di sini dan apa yang kami hasilkan di luar sana, hari ini.
“Syabas kepada Mert. Itu adalah tugasnya, untuk menyelamatkan bola, dan kami sangat gembira beliau melakukan itu pada minit terakhir perlawanan untuk memberi kemenangan kepada kami.”
Ganjaran buat Turkey dan penyokong setia mereka ialah perlawanan suku akhir menentang Belanda di Berlin pada Sabtu, dan Montella berasa mereka boleh lakukan apa sahaja dengan sokongan mereka.
“Kami mempunyai ramai pengikut, terdapat semangat dan cinta,” jelasnya.
“Ia sangat memberi kesan kepada rakyat Turkey yang berada di rumah. Saya sangat gembira kerana telah memberi sedikit kebanggaan kepada warga Turkey di sini, di Jerman dan di seluruh dunia.
“Tanggungjawab, kasih sayang dan sokongan ini sentiasa kami rasai. Anda hanya boleh merangkul impian jika anda bekerja keras dari hari pertama.
“Kami akan raikan malam ini tetapi kemudian kami sambung kerja,” ujar beliau. – Agensi berita.
“
“Mert melakukan kerja yang hebat, kami mengadakan perbincangan selepas wisel penamat dan saya tidak percaya apa yang saya lihat - mungkin salah satu aksi menyelamatkan bola terbaik yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri,”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg