MEXICO CITY: Penjaga gol veteran Mexico, Guillermo Ochoa, pada 11 Mei berkata beliau telah menyertai kem latihan terakhirnya bersama skuad kebangsaan dan dijangka bakal membuat penampilan keenam beliau di Piala Dunia pada Jun depan. 

Pemain berusia 40 tahun itu dijangka tersenarai dalam skuad kendalian jurulatih Javier Aguirre bagi kejohanan Piala Dunia, di mana Mexico menjadi penganjur bersama Amerika Syarikat dan Canada bermula 11 Jun hingga 19 Julai.

“Menyarung jersi ini bukan sekadar rutin... ia adalah satu penghormatan,” tulis Ochoa menerusi media sosial.

“Hari ini bermulanya kem latihan terakhir saya. Namun kali ini, saya melihatnya dari sudut berbeza.

“Dengan hati lebih tenang, lebih banyak parut, lebih banyak kenangan, dan keterujaan sama yang dirasai seorang budak yang pernah bermimpi untuk mempertahankan lencana ini.”

Ochoa bakal tergolong antara segelintir pemain yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, termasuk Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. 

Penjaga gol tersebut sebelum ini telah mewakili Mexico di Jerman 2006, Afrika Selatan 2010, Brazil 2014, Russia 2018, dan Qatar 2022.

Ochoa turut memberi bayangan bahawa kejohanan tersebut mungkin menjadi penamat kepada kerjayanya.

Beliau memberitahu penyiar Mexico TUDN pada April “ia mungkin pengakhiran bagi (kerjaya bola sepak) saya selepas Piala Dunia”, ketika beliau membuat persediaan untuk apa yang dijangkakan sebagai musim terakhirnya dalam arena bola sepak profesional.

“Saya telah mengharungi malam yang sukar dilupakan, perlawanan yang tiada penghujung, lagu kebangsaan yang membuat saya meremang, dan detik yang mengubah hidup saya selamanya,” tulis Ochoa.

“Meskipun begitu, setiap kali Mexico memanggil, sesuatu di dalam diri saya bercahaya semula.”

Ochoa, yang kini beraksi untuk kelab AEL Limassol di Cyprus, telah mewakili Mexico dalam lebih 150 perlawanan.

Beliau kekal sebagai antara pemain negara paling ikonik selepas aksi cemerlang di Piala Dunia, termasuk siri menyelamatkan gol ketika menentang Brazil pada 2014 dan menyelamatkan sepakan penalti pemain Poland, Robert Lewandowski, pada 2022.

Mexico bakal melengkapkan persiapan Piala Dunia mereka melalui aksi persahabatan menentang Ghana pada 22 Mei, Australia pada 30 Mei, dan Serbia pada 4 Jun, sebelum membuka tirai kejohanan menentang Afrika Selatan dalam Kumpulan A pada 11 Jun. – Reuters.