Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjaring gol terbanyak SPL jadi buruan kelab

Brunei DPMM, Selangor FC berminat dapatkan penyerang Geylang International, Tomoyuki Doi
May 8, 2025 | 12:01 PM
Penyerang Geylang International, Tomoyuki Doi (tengah), mendahului carta jaringan Liga Perdana Singapura (SPL) dengan 44 gol musim 2024/25. Beliau membuktikan ketajamannya selepas menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3-2 Geylang ke atas Lion City Sailors pada 4 Mei.
Penyerang Geylang International, Tomoyuki Doi (tengah), mendahului carta jaringan Liga Perdana Singapura (SPL) dengan 44 gol musim 2024/25. Beliau membuktikan ketajamannya selepas menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3-2 Geylang ke atas Lion City Sailors pada 4 Mei. - Foto ST

Penjaring gol terbanyak dalam Liga Perdana Singapura (SPL), Tomoyuki Doi, kini menjadi buruan kelab.

Menjaringkan 44 gol dalam 29 perlawanan SPL bersama Geylang International meletakkan Doi dalam radar kelab-kelab serantau yang tidak sabar mahu memancing penyerang utama kelab itu apabila kontraknya tamat pada penghujung musim 2024/25.

Brunei DPMM sudah menyatakan hasrat mereka secara terbuka di laman web kelab, memaklumkan bahawa mereka berminat mendapatkan khidmat penyerang Jepun berusia 27 tahun itu, lapor The Straits Times (ST).

Kelab itu yang pernah dua kali muncul juara SPL, berhasrat kembali beraksi dalam Liga Super Malaysia (MSL) musim depan.

Di Malaysia, terdapat laporan yang mengaitkan Doi dengan naib juara MSL 2024/25, Selangor FC.

Kelab Malaysia itu, yang kini dibimbing jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi, berazam mencabar dominasi Johor Darul Ta’zim di pentas domestik serta memperbaiki pencapaian mereka di Liga Juara-Juara Asia Dua, selepas tersingkir tipis di peringkat kumpulan musim ini.

Walaupun Doi mengakui terdapat minat daripada beberapa kelab mengenainya, beliau tetap mengunci mulut.

“Saya tidak boleh kata apa akan berlaku pada masa depan, kerana kita pun tidak tahu apakah yang akan berlaku esok.

“Apa yang saya boleh buat ialah terus fokus dan meningkatkan kemahiran saya sebagai penyerang setiap hari,” kata Doi, yang mempamerkan ketajaman pada 4 Mei apabila beliau menjaringkan dua gol untuk membantu Geylang menewaskan Lion City Sailors 3-2.

Ia sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah 16 perlawanan Sailors dalam liga.

Beliau berkata tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini dan menambah:

“Ia bergantung kepada keadaan. Saya perlu fokus bermain dengan pasukan dahulu, dan selepas musim tamat, kita akan lihat bagaimana.”

Sejak menyertai Geylang pada 2024, Doi sudah menyatakan hasratnya di awal musim untuk menjadi “legenda” di SPL.

Pada Mac, beliau menunaikan janji itu apabila memecahkan rekod jaringan terbanyak dalam satu musim SPL yang sebelum ini dipegang, Mirko Grabovac (38 gol dalam 33 perlawanan), ketika bersama  Angkatan Bersenjata Singapura (SAFFC) atau dengan nama julukan Warriors FC, pada 2001.

Dengan 44 gol itu, Geylang kini berada di landasan untuk menamatkan musim di kedudukan tiga teratas buat kali pertama sejak 2003, apabila mereka muncul naib juara.

Doi, yang memiliki kelebihan 16 gol berbanding pencabar terdekatnya, Lennart Thy, daripada Sailors, juga semakin hampir memenangi Anugerah Kasut Emas SPL buat kali kedua.

Jurulatih Geylang, Noor Ali, gembira melihat Doi – yang turut menyumbang enam gol dalam empat perlawanan Piala Singapura – mendapat pengiktirafan sewajarnya.

“Saya bangga dengannya. Sudah tentu kita memang mahu kekalkan penyerang sebegini. Bukan saja Brunei DPMM yang berminat, banyak lagi kelab yang kejar dia.

“Memang seronok tengok pemain berkembang dan dapat tawaran yang lebih baik, dan saya turut gembira untuk mereka,” katanya.

Namun, beliau mengakui cabaran besar yang menanti sekiranya Doi meninggalkan pasukan.

“Memang susah nak cari pengganti. Apabila ada penyerang yang menjaringkan hampir 50 gol semusim, itu sesuatu yang sangat, sangat sukar untuk kita isi.

“Tapi kita lihat bagaimana, berbaki tiga perlawanan lagi musim ini, mungkin kita boleh kekalkan Doi untuk musim depan,” tambahnya.

Doi mula mencipta nama apabila menjaring 19 gol untuk Hougang United pada musim 2021, setahun selepas membantu Albirex Niigata menjuarai liga.

Aksi cemerlangnya itu menyaksikan beliau memenangi Anugerah Pemain Terbaik dan Kasut Emas 2021.

Beliau kemudian kembali ke Jepun pada 2022 dan membuat 18 penampilan bersama Fujieda MYFC dalam saingan J3 League, menjaringkan empat gol.

Pada 2023, beliau berkelana ke Albania dan beraksi lapan perlawanan bersama FK Bylis sebelum kembali ke SPL bersama Geylang pada tahun berikutnya.

Sementara itu, jaringan Kodai Tanaka menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada Balestier Khalsa ke atas BG Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 7 Mei.

Kekalahan Stags itu bermakna Lion City Sailors, yang kini mendahului liga dengan kelebihan lapan mata, hanya memerlukan dua mata daripada baki tiga perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan liga kedua mereka.

Balestier pula kekal dalam saingan merebut tempat ketiga tetapi perlu mengatasi kekurangan lapan mata untuk memintas Geylang di tempat ketiga.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Jurong East, Tanjong Pagar United semakin hampir menamatkan musim di kedudukan tercorot selepas seri 1-1 dengan Young Lions.

“Saya bangga dengannya (Doi). Sudah tentu kita memang mahu kekalkan penyerang sebegini. Bukan saja Brunei DPMM yang berminat, banyak lagi kelab yang kejar dia. Memang seronok tengok pemain berkembang dan dapat tawaran yang lebih baik, dan saya turut gembira untuk mereka... Memang susah nak cari pengganti. Apabila ada penyerang yang menjaringkan hampir 50 gol semusim, itu sesuatu yang sangat, sangat sukar untuk kita isi.”
Noor Ali, jurulatih Geylang International.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg