Lion City Sailors berkata persiapan di Stadium Bishan sedang dijalankan untuk menampung sehingga 10,000 penyokong bagi final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), menentang Sharjah FC dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang akan berlangsung pada 18 Mei.
Persiapan itu dibuat selepas Sailors diberi kelulusan awal oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada April 2025, yang membolehkan perlawanan tersebut diadakan di Stadium Bishan.
Dalam satu kenyataan oleh Sailors pada 5 Mei, ia berkata usaha mempersiapkan Stadium Bishan mencerminkan komitmen kelab itu untuk memastikan acara bersejarah tersebut dapat dinikmati oleh seramai mungkin penyokong.
“Menjadi hasrat Sailors untuk mencipta suasana yang mengasyikkan dan layak bagi sebuah final piala peringkat benua, ketika Sailors juga memburu kejayaan di tanah air,” jelas kenyataan itu.
Ketika ini, Sailors mendahului Liga Perdana Singapura (SPL) dengan 68 mata, diikuti rapat oleh BG Tampines Rovers di tempat kedua dengan 60 mata.
Sailors memerlukan lima mata untuk merangkul kejuaraan SPL, dengan hanya tiga perlawanan liga berbaki sebelum musim berakhir pada penghujung Mei.
Selain aksi di atas padang pada 18 Mei, penyokong juga boleh menantikan pengalaman meriah, termasuk trak makanan, permainan karnival dan reruai mengambil gambar yang disediakan untuk menyemarakkan semangat penyokong tuan rumah sebelum perlawanan bermula.
Sailors mencipta sejarah pada 16 April sebagai kelab tempatan pertama yang mara ke final kejohanan kelab utama Asia selepas menewaskan kelab gergasi Liga-A, Sydney FC, dalam dua pusingan.
Kelab bola sepak Singapura itu kini bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Singapura (SportSG), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan rakan industri sukan bagi memastikan Stadium Bishan benar-benar siap bagi malam bersejarah itu.
“Final itu bukan sekadar satu pencapaian buat Sailors, ia adalah satu sambutan untuk bola sepak Singapura.
“Kami tidak sabar melihat stadium dipenuhi penyokong dan seluruh negara bersatu memberikan sokongan kepada pasukan,” kata pemilik dan Pengerusi Sailors, Encik Forrest Li.
Awal dari ini, Encik Li dilantik sebagai Presiden FAS pada 28 April.
Sementara itu, tiket perlawanan akhir ACL2 akan mula dijual pada 12 tengah hari pada 6 Mei menerusi menerusi laman web, Sistic (www.sistic.com.sg).
Tiket untuk penyokong tuan rumah dibahagikan kepada empat zon – Barat, Timur, serta Utara dan Selatan (terletak di belakang setiap gawang).
Harga tiket bagi tempat duduk di zon Barat adalah antara $26 dengan $50, harga untuk zon Timur antara $26 dengan $40, manakala harga untuk zon Utara dan Selatan antara $26 dengan $30.
Ahli ‘The Deck’, iaitu program keahlian rasmi Sailors, akan mendapat diskaun 50 peratus untuk pembelian tiket, tertakluk kepada maksimum enam tiket bagi setiap ahli.
Tiket untuk penyokong Sharjah FC pula akan diuruskan secara berasingan oleh pihak kelab itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg