Selama lapan tahun, Super Star Original Famous Penang Laksa merupakan gerai popular yang menjadi tarikan di Pusat Makanan People’s Park.

Pelanggan setia berpusu-pusu ke gerai yang diusahakan oleh Phua Yoke Phek, demi menikmati semangkuk asam laksa Pulau Pinang yang terkenal.

Sebuah blog makanan tempatan menggelarnya “sedap dihirup,” manakala satu lagi blog menyenaraikannya dalam senarai assam laksa terbaik di Singapura.

Namun, gerai itu ditutup buat selama-lamanya pada Mei 2025, apabila Phua menggantikan senduk dan mangkuknya dengan ‘tempat duduk pemandu teksi’.

Ibu tunggal itu membuat perubahan kerjaya tersebut supaya beliau mempunyai masa dan kelonggaran untuk menghantar dan menjemput anak perempuannya – penunggang basikal kebangsaan Valencia Tan, ke tempat latihan dan pulang ke rumah.

Menjelang penampilan sulung Tan di Sukan Asia dalam acara omnium wanita dan perlumbaan jalan raya Madison, Phua, 59 tahun, berkata:

“Sudah tentu saya rindukan gerai itu, tetapi saya tidak menyesal kerana saya mahu menyokong impian anak saya untuk ke Sukan Olimpik.

“Mengusahakan gerai penjaja bukanlah senang kerana waktu kerjanya amat panjang, dan saya tidak dapat membantunya banyak. Tetapi sebagai pemandu teksi, saya boleh menghantarnya ke gim, ke latihan atau ke mana-mana janji temunya. 

“Membawa basikal ke mana-mana sahaja bukanlah mudah baginya seorang diri. Dengan kerja ini, saya juga dapat memasak buatnya, membeli makanan dan barang runcit yang diperlukannya untuk pemakanan.

“Ini hobinya, impiannya. Saya mahu melakukan apa sahaja yang termampu untuk menyokongnya.”

Kasih sayangnya terhadap anak perempuannya yang berusia 21 tahun jelas kelihatan di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka di Bidadari. 

Gambar penampilan sulung Tan di Sukan SEA 2025 di Bangkok – dengan beliau memenangi pingat perak – serta aksinya di Sukan Komanwel baru-baru ini menghiasi pintu peti sejuk dan dinding rumah mereka.

Diinspirasikan oleh kembarnya, Sachin Tan, yang dilahirkan hanya dua minit selepasnya, Tan mula berbasikal sebagai hobi pada 2021 selepas melihat betapa gembiranya abangnya menceburi sukan itu. 

Beliau mulanya berbasikal di Taman East Coast sebelum beralih kepada perlumbaan di jalan raya. Tidak lama selepas itu, beliau terpilih untuk pasukan kebangsaan.

Seiring minatnya yang semakin mendalam, beliau menukar basikal Decathlonnya – yang diwarisi daripada ibu saudaranya – kepada sebuah basikal jalan raya terpakai bernilai $2,000. 

Pada 2023, Tan bertanya ibunya sama ada beliau boleh membeli basikal ‘perlumbaan’ yang lebih baik.

Walaupun pada mulanya terkejut dengan harga $16,000, Phua meminjam wang daripada rakan-rakannya untuk membeli basikal S-Works bertaraf profesional itu – hutang yang telah pun dilunaskan sepenuhnya.

Menyedari betapa banyak pengorbanan yang dilakukan ibunya demi menyokong cita-cita sukannya, Tan bertekad menghargai kepercayaan itu dengan memberikan segala yang termampu melalui basikal.

“Sudah tentu, saya sedar betapa bertuahnya saya kerana mempunyai ibu yang amat menyokong cita-cita saya, dan ini memberi saya motivasi setiap hari, dalam setiap latihan dan perlumbaan,” kata Tan, seorang pelajar tahun pertama jurusan perniagaan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

“Saya harap suatu hari nanti saya dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik, supaya saya dapat membalas segala yang telah dilakukan oleh ibu saya untuk memberi saya peluang ini,” tambah beliau.