Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyokong hampa tiket separuh akhir S’pura-Thai habis sekelip mata
Persoal penjual semula, mahu sistem jualan tiket diperbaiki
Tidak sampai sejam sejak jualan dibuka, lebih 4,000 tiket aksi separuh akhir pertama Piala Asean Hyundai antara pasukan Singapura dengan Thailand habis terjual, meninggalkan ramai penyokong hampa kerana gagal mendapatkan tiket.
Perlawanan tersebut akan berlangsung pada 15 Ogos di Stadium Jalan Besar, yang mempunyai kapasiti sekitar 6,000 penonton.
Bagi penyokong yang berharap dapat menyaksikan perlawanan itu secara langsung, kekecewaan jelas terasa apabila sebilangan mereka meluahkan perasaan di ruangan komen Instagram Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) selepas gagal mendapatkan tiket.
Ada penyokong yang mendakwa tiket habis dalam tempoh kurang daripada seminit, manakala sebahagian lain mempersoalkan kehadiran penjual semula serta penggunaan bot dan berharap sistem penjualan tiket dapat diperbaiki pada masa akan datang.
Tiket dijual pada harga $49 bagi Kategori 1 dan $35 bagi Kategori 2, tidak termasuk caj tiket, dan hanya dijual menerusi Tickethotline tanpa jualan di kaunter atau di stadium.
Namun tidak lama selepas jualan dibuka, tiket jualan semula mula muncul di platform pasaran dalam talian seperti Carousell, dengan sepasang tiket Kategori 1 dilaporkan ditawarkan sehingga $1,500 – lebih 15 kali ganda harga asal.
Bagi penyokong bola sepak tempatan, Ibrahim Nikmat, beliau sudah bersedia lebih awal untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
“Saya mula masuk dalam ‘queue’ lebih kurang pukul 10.30 pagi, kira-kira 30 minit sebelum jualan dibuka. Memang sudah bersedia awal sebab saya tahu permintaan bagi tiket kali ini tinggi,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkongsi tentang hasratnya untuk menyaksikan perlawanan tersebut bersama kawan dan anaknya.
Namun, harapan itu akhirnya tidak kesampaian.
“Memang kecewa, hampa dan boleh kata merana juga apabila akhirnya dapat tahu tiket sudah habis dan saya tidak berjaya mendapatkannya,” tambah pengurus stesen MRT berusia 65 tahun itu.
Apa yang membuatkan kekecewaan itu lebih terasa ialah keyakinannya bahawa skuad kendalian Gavin Lee mempunyai peluang untuk menewaskan Thailand.
“Yang paling mengecewakan ialah sekarang ada satu jangkaan bahawa Singapura boleh kalahkan Thailand.
“Jadi memang teringin sangat untuk berada di stadium dan menyaksikan sendiri perlawanan itu,” ujarnya.
Keyakinan sedemikian hadir ketika sokongan terhadap skuad Singa semakin meningkat selepas beberapa keputusan memberangsangkan di bawah kendalian Lee, termasuk kejayaan bersejarah melayakkan diri ke Piala Asia 2027 pada November 2025.
Singapura juga kini melangkah ke separuh akhir Piala Asean Hyundai dua kali berturut-turut selepas menduduki tempat kedua Kumpulan A.
Mereka menewaskan Kemboja 2-1 di tempat lawan dan Timor-Leste 2-0 di padang sendiri, sebelum mengikat juara bertahan Vietnam 0-0 di tempat lawan dan Indonesia 1-1 di Stadium Jalan Besar.
Penyokong yang tidak berjaya mendapatkan tiket masih mempunyai pilihan untuk menyaksikan perlawanan bersama penyokong lain menerusi beberapa acara tontonan awam di seluruh Singapura, termasuk di Kelab Masyarakat Cheng San, ARFC Woodleigh, Kelab Masyarakat Boon Lay, One Punggol dan Our Tampines Hub (OTH).
Stadium Negara berkapasiti 55,000 penonton tidak dapat digunakan kerana ia masih memerlukan kira-kira dua setengah minggu untuk kerja menanggalkan struktur Perbarisan Hari Kebangsaan serta menyediakan semula padang.
Perlawanan timbal balik antara dua pasukan itu pula akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, pada 18 Ogos.
