Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyokong Sailors ‘seberangi’ Tambak, sokong pasukan

Aug 22, 2025 | 4:38 PM
Piala Shopee, Sailors, JDT 
Seramai 85 penyokong Lion City Sailors (LCS) telah berangkat ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menyaksikan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala Shopee. - Foto BH oleh DIYANA TAHA

Perlawanan di kubu pasukan lawan di luar Singapura selalu istimewa untuk penyokong kelab bola sepak.

Seramai 85 penyokong Lion City Sailors (LCS) telah berlepas ke Johor Bahru untuk memberikan sokongan kepada kelab mereka apabila menentang pesaing dari seberang Tambak, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam Piala Shopee – atau dikenali sebagai Kejohanan Kelab Asean (ACC) – yang berlangsung pada 5.30 petang, 21 Ogos.

Piala Shopee merupakan kejohanan bola sepak yang menampilkan kelab-kelab terbaik Asia Tenggara.

Para penyokong tersebut dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim oleh jawatankuasa LCS dengan tiga bas yang disediakan. Mereka berangkat dari Pusat Latihan LCS yang terletak di Mattar Road pada sekitar 1.30 tengah hari.

Antaranya ialah Encik Sarish Singh Mohar, 29 tahun, yang telah menyokong LCS sejak kecil, ketika kelab itu masih dikenali sebagai Home United dan Indra Sahdah merupakan kapten pasukan waktu itu.

“Sewaktu kecil, saya mengikuti bapa saya ke perlawanan Home United... saya ghairah lihat perkembangan kelab ini yang sememangnya antara kelab yang mempunyai penyokong yang ramai,” kata Encik Sarish, yang sedang berlatih menjadi peguam.

Ini adalah kali pertama Encik Sarish menyokong Sailors di luar negara.

“Mengunjungi padang pasukan lawan bersama penyokong-penyokong Sailors yang lain membuat pengalaman ini lebih istimewa,” tambah beliau.

(Dari kiri) Encik G Reuben Gangesh, Encik Anatolii Kalugin dan Encik Bryan Wong bergambar di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos. Ketiga-tiga rakan menyaksikan perlawanan LCS menentang JDT dalam Piala Shopee.
(Dari kiri) Encik G Reuben Gangesh, Encik Anatolii Kalugin dan Encik Bryan Wong bergambar di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos. Ketiga-tiga rakan menyaksikan perlawanan LCS menentang JDT dalam Piala Shopee. - Foto ihsan oleh ANATOLII KALUGIN

Ada pula penyokong yang ke Stadium Sultan Ibrahim dengan mengeluarkan ongkos sendiri seperti Encik G Reuben Gangesh, 32 tahun, dan Encik Anatolii Kalugin, 26 tahun, yang menaiki Kereta Api Tanah Melayu (KTM).

Kededua rakan itu terlibat dalam kumpulan penyokong Sailors iaitu The Crew dan Sailorfantalk, dengan menulis artikel dan memuat naik kandungan visual untuk media sosial kumpulan masing-masing.

Mereka turut mengambil cuti semata-mata untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

“Saya rasa ghairah kerana ini kali pertama saya menyaksikan perlawanan Sailors di luar Singapura dan juga di stadium yang sangat besar dan hebat ini.

“Pada saya, ia melambangkan kejayaan Sailors setakat ini,” kongsi Encik Reuben, yang bertugas sebagai jurutera penyelidikan alam sekitar di Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Menjadi sebahagian suasana riuh-rendah di stadium sebesar itu pasti satu pengalaman yang luar biasa sekali.”

Kesemua penyokong Sailors yang ditemui Berita Harian (BH) menjangkakan penyokong JDT, yang tentunya lebih ramai, mewujudkan suasana yang mengerunkan di Stadium Sultan Ibrahim yang boleh menampung seramai 40,000 penyokong.

“Peminat JDT mampu menyemarakkan suasana stadium... walaupun kami tidak ramai, namun saya harap kami dapat menyorak sekuat hati,” kata Encik Anatolii yang bekerja di Puma dan telah menghadiri hampir 50 perlawanan Sailors pada musim lalu Liga Perdana Singapura (SPL).

Setakat 1 tengah hari pada 21 Ogos, sekitar 170 tiket di tempat duduk penyokong LCS telah dibeli melalui laman web Tickethotline.

Walaupun dibolosi 4-1 oleh BG Tampines Rovers dalam Perisai Masyarakat pada 16 Ogos, penyokong Sailors tetap yakin kelab itu dapat mampu selepas membuat persiapan dan latihan yang sesuai dalam usaha mendapat keputusan positif kali ini.

“Saya rasa perlawanan ini mampu menjadi perlawanan paling mencabar untuk LCS, JDT telah mencapai prestasi tinggi dengan konsisten sejak beberapa tahun ini,” kata Encik Sarish.

Encik Anatolii berkongsi: “Saya rasa kekalahan kepada Tampines merupakan isyarat penting untuk Sailors... para pemain tentu sekali menghadapi cabaran hebat di padang JDT tetapi saya yakin pasukan kami berazam untuk mencatatkan kejutan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg