Perancis melangkah ke Piala Dunia 2026 sebagai antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi.

Juara edisi 2018 itu pastinya berkobar-kobar mahu merampas semula takhta mereka selepas kecewa dengan kekalahan tipis kepada Argentina dalam aksi final yang penuh dramatik – diheret ke babak sepakan penalti di Piala Dunia 2022 Qatar.

Les Bleus akan membuka tirai saingan Kumpulan I menentang Senegal pada 17 Jun, sebelum dijadualkan menentang Iraq dan Norway.

Pengendali pasukan, Didier Deschamps, telah membentuk sebuah skuad yang mantap dan sarat dengan barisan bintang bertaraf dunia serta kedalaman skuad yang dicemburui ramai, sekali gus menjadikan mereka pencabar yang digeruni.

Bagaimanapun, Senegal bukan lawan yang calang-calang. Gergasi Afrika itu melangkah ke Piala Dunia dengan reputasi tanpa kalah sepanjang kempen kelayakan, yang ditunjangi oleh benteng pertahanan yang kebal.

Oleh itu, pertemuan kedua-dua pasukan ini di Stadium New York New Jersey nanti bakal menjadi satu lagi pertembungan sengit dan mengujakan bagi edisi Piala Dunia terkini.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps (kiri), dan bintang penyerang pasukan, Kylian Mbappe (kanan), dalam sesi latihan di Universiti Bentley di Amerika Syarikat dalam persiapan menghadapi Piala Dunia 2026 ini.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps (kiri), dan bintang penyerang pasukan, Kylian Mbappe (kanan), dalam sesi latihan di Universiti Bentley di Amerika Syarikat dalam persiapan menghadapi Piala Dunia 2026 ini. - Foto AFP

Sudah tentu, Kylian Mbappe menjadi tumpuan utama apabila menyentuh mengenai kekuatan Perancis.

Bintang Real Madrid itu telah menjaringkan 42 gol dalam 44 penampilan bagi kelabnya sepanjang musim 2025-26, dan kini melangkah ke Piala Dunia ketiganya dengan penuh keyakinan.

Walaupun tewas dalam pertarungan akhir di Qatar, Mbappe kini menjadi wajah utama pasukan Perancis setelah hatrik beliau memastikan Perancis bersaing sengit sehingga ke penentuan sepakan penalti final 2022 itu.

Baru-baru ini, prestasi dan tumpuan beliau dipersoalkan, terutama sekali kerana beliau gagal menembusi gawang lawan sepanjang perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia 2026 ini.

Namun begitu, rakan sepasukan Mbappe tetap yakin dengan ketangkasannya, sambil menyifatkan beliau sebagai pemangkin semangat pasukan.

Antaranya ialah pemenang Ballon d’Or 2025, Ousmane Dembele, yang juga antara penyerang digeruni di dunia ketika ini.

Kehadiran pemenang Ballon d’Or 2025, Ousmane Dembele, yang baru-baru ini membantu kelabnya, PSG, menjulang trofi Liga Juara-Juara, meletakkan Perancis sebagai antara pilihan awal untuk memenangi Piala Dunia ini.
Kehadiran pemenang Ballon d’Or 2025, Ousmane Dembele, yang baru-baru ini membantu kelabnya, PSG, menjulang trofi Liga Juara-Juara, meletakkan Perancis sebagai antara pilihan awal untuk memenangi Piala Dunia ini. - Foto AFP

Beliau telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Ligue 1 dan menjaringkan gol dalam kemenangan final Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus membantu kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), bergelar juara Eropah buat kali kedua berturut-turut. 

Kehadiran tonggak kreatif seperti Michael Olise dan Desire Doue juga meningkatkan tahap bahaya barisan serangan Perancis.

Jentera bahagian tengah dan benteng pasukan ini juga diperkukuhkan oleh pemain berpengalaman termasuk Aurelien Tchouameni, Rayan Cherki, William Saliba dan Jules Kounde.

Penyerang Perancis, Michael Olise (kiri) dan pemain tengah Ireland Utara, Alistair McCann (kanan), ketika Perancis mengatasi Ireland Utara 3-1 dalam perlawanan persahabatan pada Jun 8 menjelang Piala Dunia 2026.  Olise menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu.
Penyerang Perancis, Michael Olise (kiri) dan pemain tengah Ireland Utara, Alistair McCann (kanan), ketika Perancis mengatasi Ireland Utara 3-1 dalam perlawanan persahabatan pada Jun 8 menjelang Piala Dunia 2026. Olise menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu. - Foto AFP

Sementara itu Senegal mengesahkan tiket kelayakan secara langsung ke Piala Dunia 2026 setelah menamatkan kempen kelayakan tanpa kalah.

Walaupun menerima tentangan sengit daripada DR Congo dalam kempen itu, benteng Senegal hanya dibolosi tiga kali dalam 10 perlawanan.

Lantas, pasukan ini mungkin mampu menjinakkan barisan penyerang Perancis yang berbisa.

Senegal pernah menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2021 yang ditunda ke awal 2022, dan pada mulanya memenangi kejohanan edisi 2025 yang berlangsung di Maghribi dari Disember hingga Januari 2026.

Bagaimanapun, takhta kejuaraan Senegal dilucutkan oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) ekoran tindakan pemain Senegal yang keluar padang sebagai tanda bantahan terhadap keputusan pengadil yang memberi sepakan penalti kepada Maghribi pada perlawanan final itu.

Pertikaian itu mungkin membakar semangat Senegal untuk bangkit dengan lebih hebat demi membuktikan kebolehan sebenar mereka yang kini kembali diuji di pentas dunia.

Ternyata, Sadio Mane dijangka menjadi tonggak Senegal sekali lagi.

Bekas penyerang Liverpool dan Bayern Munich ini bukan sahaja membawa kemahiran dan pengalaman bermakna, bahkan kepimpinan yang penting untuk menyemarakkan rakan-rakannya lain beraksi pada tahap terbaik.

Pemain Senegal, Kalidou Koulibaly (kanan) dalam aksi perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025 ketika menentang Mali pada 9 Januari 2026 di Stadium Grand Tangier.
Pemain Senegal, Kalidou Koulibaly (kanan) dalam aksi perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025 ketika menentang Mali pada 9 Januari 2026 di Stadium Grand Tangier. - Foto REUTERS

Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw, juga boleh bergantung kepada gandingan Kalidou Koulibaly and Edouard Mendy, yang bermain di Liga Pro Saudi bersama Mane.

Koulibaly dijangka menjadi pemain utama bagi memantapkan lagi kubu pertahanan Senegal, manakala kehadiran Mendy di gawang mampu menggoyahkan tumpuan penyerang lawan.

Turut memperkukuhkan barisan serangan Senegal ialah penyerang Chelsea, Nicolas Jackson, yang berjaya menjaringkan 11 gol dalam 34 perlawanan sebagai pemain pinjaman di Bayern bagi musim 2025/26.

Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw, semasa perlawanan persahabatan menentang Barzil pada 15 November 2024 di Stadium Emirates.
Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw, semasa perlawanan persahabatan menentang Barzil pada 15 November 2024 di Stadium Emirates. - Foto REUTERS

Ramalan Wartawan: 2-1 memihak kepada Perancis

Perlawanan Kumpulan I pada 17 Jun (waktu Singapura):

Perancis lwn Senegal - 3 pagi

Iraq lwn Norway - 6 pagi